Halaman

Jumaat, 19 Februari 2010

Selesai cara aman, diplomasi

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia sepakat melaksanakan etika perundingan (ROE) berkonsepkan keamanan dan diplomasi dalam menangani tuntutan bertindih ke atas wilayah yang menjadi pertikaian.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ROE ini juga menjadi kaedah yang akan digunakan kedua-dua negara dalam isu tuntutan wilayah Ambalat di perairan Laut Sulawesi.

Beliau berkata, kedua-dua negara berharap akan menemui titik persamaan yang mampu diterjemahkan sebaik mungkin bagi menyelesaikan pertikaian dalam masa singkat.

Menurut beliau, perundingan isu itu merupakan bidang kuasa Kementerian Luar tetapi dalam soal operasi ketenteraan di perairan berkenaan, kedua-dua negara sepakat untuk melakukannya secara berasingan serta mengelak berlaku pertembungan.

“Sudah tentu operasi ini ke arah keamanan, bukan sebaliknya. Keakraban antara kedua-dua negara ini harus diterjemahkan bukan sekadar faktor emosi dan nostalgia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Prof. Dr. Ir. Purnomo Yusgiantoro selepas Sidang Ke-38 Perundingan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di sini, hari ini.

Ambalat yang merupakan blok lautan berhampiran Laut Sulawesi menjadi pertikaian antara Malaysia dengan Indonesia akibat perselisihan peta yang digunakan.

Wilayah berkeluasan kira-kira 15,235 kilometer persegi itu kaya dengan minyak mentah dan gas asli.

Pada 22 Oktober 2008, Pengerusi Dewan Perwakilan Rakyat Agung Laksono mewakili Indonesia membantah tindakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada di perairan Ambalat.

Masalah tuntutan bertindih ke atas Ambalat di antara Malaysia dan Indonesia diputuskan tidak akan dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 17 Mei 2009.

Bagaimanapun, insiden terbaru tercetus pada penghujung Mei 2009 apabila media Indonesia mendakwa berlaku pencerobohan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kawasan perairan itu.

Sementara itu, Purnomo berkata, isu Ambalat tidak dibincangkan dalam GBC kerana ia merupakan ruang lingkup kuasa Kementerian Luar kedua-dua negara.

Katanya, bagi Indonesia, ROE bukan sahaja akan digunakan dalam perundingan dengan Malaysia tetapi turut digunakan dalam isu tuntutan sempadan dengan negara jiran lain.

“Indonesia-Malaysia sudah ada komitmen untuk tetapkan ROE yang masing-masing akan dilaksanakan oleh kedua-dua negara. Kemudian ia akan dilihat pula kewajaran untuk dilaksanakan secara bersepadu.

“Apa yang baiknya dalam hubungan antara negara ini ialah kita mempunyai persepsi yang sama, iaitu wujudnya keperluan duduk bersama secara baik dan laksanakan ROE serta berbincang ke arah kebaikan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.