BERNAMA
KUALA LUMPUR — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memantau pelaksanaan hukuman sebatan agar setiap hukuman yang dikenakan terhadap wanita Islam dibuat dengan adil dan saksama.
Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata memandangkan hukuman sebatan merupakan satu perkara yang sensitif terutamanya bagi golongan wanita,kementeriannya akan memantau kes-kes seumpama itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham masyarakat mengenai kemuliaan undang-undang Islam.
“Kementerian faham bahawa pelaksanaan hukuman tersebut adalah selaras dengan peruntukan undang-undang Islam yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan.
“Selaku menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal wanita di negara ini, saya amat mengharapkan supaya setiap hukuman yang dikenakan terhadap wanita Islam hendaklah dibuat dengan adil dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata tiga wanita telah menjalani hukuman sebat pada 9 Feb lepas di Penjara Wanita Kajang atas kesalahan melakukan jenayah syariah.
Dalam pelaksanaan hukuman sebat syariah kali pertama ke atas pesalah wanita itu, dua orang daripada mereka dikenakan hukuman enam kali sebatan manakala seorang lagi empat kali sebatan.
Menurut Hishammuddin tiga pesalah wanita itu bersama empat lagi pesalah lelaki dihukum sebat mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Disember 2009 hingga Januari tahun ini.
Sehubungan itu, Shahrizat yang juga Pengerusi Sekretariat Pembelaan dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada) berkata sekretariat itu akan memantau kes-kes seumpama itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham masyarakat mengenai kemuliaan undang-undang Islam dan kesan positif yang ada di sebalik hukuman yang diwujudkan dalam undang-undang Islam.
Ditubuhkan pada Jun 2008, antara objektif utama sekretariat itu adalah untuk memastikan hak-hak wanita dan keluarga Islam mendapat pembelaan sewajarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.