Halaman

Sabtu, 20 Februari 2010

Wanita tempatan perlu fikir panjang

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Indonesia menasihatkan wanita tempatan berhati-hati dan berfikir panjang sebelum nekad untuk mengahwini pasangan mereka yang merupakan warga Indonesia.

Konsul Penerangan, Sosio dan Budaya Kedutaan Besar Indonesia, Widyarda Ryananta berkata, keputusan yang diambil perlu difikir sebaik-baiknya agar tidak mencetuskan isu pada kemudian hari.

Beliau juga menegaskan, komunikasi yang baik antara dua pihak amat penting bagi memahami bahawa masalah cinta merupakan sesuatu yang sangat subjektif.

''Soal cinta ini sesuatu yang rumit. Kita tidak dapat menghalangnya kerana ini membabitkan perasaan suka sama suka.

''Selagi ia tidak membabitkan jenayah dan mengganggu ketenteraman kedua-dua buah negara, tiada tindakan yang boleh diambil," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas isu beberapa gadis tempatan yang lari ke Indonesia untuk berkahwin dengan lelaki warga Indonesia.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini tiada sebarang aduan yang dibuat kepada kedutaan tersebut berkaitan isu berkenaan.

Menurutnya, pihak kedutaan sentiasa terbuka menerima kunjungan mana-mana pihak untuk mencari jalan penyelesaian berhubung isu tersebut.

''Kami cuma mengetahui mengenai perkara ini melalui media dan melalui pembacaan ini, kami hantar laporan ke kerajaan Indonesia untuk diberi perhatian.

''Jika ada laporan yang lengkap pastinya kami akan bekerjasama dan membantu kedua-dua pihak untuk mencari jalan penyelesaiannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.