UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra telah menarik balik kurniaan darjah kebesaran daripada dua orang pembesar minggu lalu.
Menurut sumber, mereka ialah di kalangan ahli perniagaan yang dianggap tidak lagi menghormati institusi diraja dengan tindak-tanduk tidak menyenangkan pihak istana.
Utusan Malaysia difahamkan penarikan balik kurniaan itu dijangka akan diwartakan oleh pentadbiran kerajaan negeri dalam tempoh beberapa hari lagi setelah menerima perkenan baginda.
Selain itu, menurut sumber, seramai empat orang lagi yang bergelar datuk akan turut ditarik balik darjah kebesaran itu di samping seorang penerima Jaksa Pendamai.
''Ia kemungkinan diwartakan sebelum sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 30 dan 31 Mac ini.
''Kesemua mereka bukan pemimpin politik tetapi di kalangan ahli perniagaan dan pentadbir," kata sumber itu.
Sebelum ini, baginda telah menarik balik kurniaan-kurniaan Sultan Kelantan daripada Senator Ahmad Ruseli Iberahim yang berkuat kuasa mulai 29 September 2009.
Ia melibatkan tauliah pelantikan Ahli Darjah Kebesaran Ahli yang Kedua (Dato' Paduka) bagi Darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II), Ahli Yang Kelima (ASK)' (Al-Ibrahimi V) dan pelantikan Jaksa Pendamai.
Ahmad Ruseli pada 1 Mac lalu menarik balik permohonan beliau untuk mencabar keputusan Pemangku Raja Kelantan yang telah melucutkan gelaran Datuk dan beberapa darjah kebesaran yang disandang olehnya, tahun lalu.
Dalam permohonan yang difailkan pada 30 November tahun lalu di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, pemohon menamakan Tengku Muhammad Faris Petra; Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Aiseri Alias; dan Kerajaan Negeri Kelantan selaku responden pertama hingga ketiga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.