KUALA LUMPUR : Kenyataan terbaru Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak, iaitu ekonomi negara menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus adalah penipuan 'terang-terangan' kerajaan Umno, Barisan Nasional kepada rakyat.
"Ia bercanggah dengan fakta Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan baru-baru ini ketika melaporkan jumlah penganggur di Malaysia daripada Oktober sehingga Disember tahun lalu adalah seramai 36,000 orang," kata Pengerusi Persatuan Pegawai-Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) Abdul Razak Ismail.
Menurut beliau lagi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyatakan bahawa pengumuman Najib Razak itu bukan suatu gambaran sebenar kerana Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan paling lembap dalam kalangan negara serantau pada tahun ini.
"Jumlah penganggur seramai 36,000 orang itu adalah 3.6 peratus daripada jumlah penduduk negara ini," tambah Abdul Razak lagi.
Malaysia, menurut Anwar sebelum ini telah ketinggalan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina, malahan juga Vietnam.
"Kita berpendapat Najib tidak jujur dan memutarbelitkan fakta bahawa ekonomi kita masih belum pulih terutamanya daripada sektor perkilangan yang terjejas teruk ekoran kekurangan eksport kerana kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat pada 2008.
"Kadar penggangguran kita besar kemungkinan menyamai jumlah yang dicatatkan pada krisis ekonomi Asia 1997, jika kita masih terus gagal memulihkan ekonomi kita sepenuhnya," tambah beliau.
Menurut Abdul Razak, syarikat-syarikat tempatan terpaksa mengecilkan jumlah pengeluaran kerana permintaan yang kurang.
"Akibat krisis ekonomi melanda di Amerika Syarikat, ramai pekerja daripada sektor perkilangan elektronik, pembuatan dan perkhidmatan terpaksa diberhentikan kerja buat sementara.
"Kempen kerajaan yang menonjol-nonjolkan '40 orang terkaya bertaraf billionnaire' di Malaysia termasuk adik PM sendiri adalah sikap 'damage control' bagi mengalihkan pandangan rakyat terhadap kegagalan Najib dalam memulihkan ekonomi negara," tambah beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.