HALAMAN SANTAI

Sabtu, 6 Mac 2010

Jejaki pemuda larikan Rozita


Hamdan


KUANTAN - Seakan menjadi satu trend pula apabila seorang demi seorang anak gadis tempatan tertarik dengan pemuda dari Lombok, Indonesia dan bertindak melarikan diri bersama kekasih hati mereka itu.

Kes terbaru yang dibawa ke pengetahuan media ialah seorang gadis, Rozita Mat Ali, 30, dari Kampung Kuala Medang, Kuala Lipis yang lari mengikut teman lelakinya, seorang penoreh getah.

Kes itu mendapat perhatian Pergerakan Pemuda UMNO Pahang yang kini sedang menjejaki kampung halaman teman lelaki gadis itu di Lombok Timur, Indonesia selepas mereka melarikan diri pada 14 Februari lalu.

Ketuanya, Abu Jimi Samat berkata, pihaknya menerusi Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO negeri yang diketuai pengerusinya, Datuk Muhd. Khairun Aseh sedang mengenal pasti kampung asal teman lelaki gadis terbabit di Lombok Timur.

"Kami telah mendapat banyak maklumat mengenai lelaki berkenaan yang sebelum ini bekerja sebagai penoreh getah di Perkampungan Orang Asli Betau, Kuala Lipis.

"Semua butiran lelaki berkenaan telah diperoleh dan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO telah menghubungi pihak berkuasa di Lombok untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan seorang pengawal keselamatan di Kampung Kuala Medang, Jelai, Kuala Lipis merayu anak gadisnya, Rozita yang melarikan diri ke Lombok Timur pada 14 Februari lalu agar segera pulang kerana ibunya sakit.

Mat Ali Mat Amin, 67, memberitahu kesihatan isterinya, Jariah Ishak, 60, sering terganggu sejak Rozita dilarikan teman lelakinya itu.

Menurut Abu Jimi, pada masa kini, pihak berkuasa Lombok sedang berusaha mengesan Rozita dan teman lelakinya kerana gadis itu masuk ke negara berkenaan tanpa dokumen yang sah.

"Pihak berkuasa Lombok akan memaklumkan kepada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO sekiranya terdapat sebarang perkembangan," jelasnya.

Sementara itu, majikan kepada penoreh terbabit, Shahrul Nizam Romainoor, 27, ketika ditemui tidak menyangka pekerjanya itu yang selama ini amat dipercayai dan tekun bekerja tergamak melarikan anak gadis kampung tersebut.

Menurutnya, penoreh yang dikenali sebagai 'Hamdan' itu merupakan seorang pendiam dan amat disenangi penduduk kampung itu.

Tiada ulasan: