Semalam model ekonomi baru dan hari ini Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Pengumuman kepada publik ditangguhkan lagi. Alasan diberikan mudah: kerajaan mahu mendapatkan input dan pandangan daripada orang ramai sebelum kedua-duanya menjadi dasar rasmi.
Ya, alasan yang dikemukakan nampaknya baik. Tetapi hakikatnya alasan yang diketengahkan ini, hanya tinggal beberapa hari sebelum ia seharusnya dilaksanakan atau diumumkan, kini menjadi persoalan.
Rang undang-undang itu telah dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen Disember lalu. Pokoknya pembentangan rang undang-undang ini sebenarnya telah ditangguhkan beberapa kali.
Mereka yang mengikutinya dengan dekat kedua-dua model ekonomi baru dan rang undang-undang GST tetap akan tertanya-tanya mengapa sekarang? Timbul pelbagai persoalan, mengapa ia ditangguhkan lagi?
Kerajaan tiada pilihan melainkan terpaksa menerima kritikan dan pandangan negatif daripada orang ramai tentang prestasi penggubal-penggubal dasar.
Secara tidak langsung ia akan dikaitkan dengan indeks prestasi utama atau KPI yang diperkenalkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak setahun lalu.
Bulan depan genap setahun usia kayu pengukur prestasi ini dikuatkuasakan.
Menjelang genap setahun ini nampaknya pentadbiran semasa membawa dua kegagalan menepati garis masa yang ditetapkan oleh Najib sendiri.
Siapa yang harus dihukum? Atau siapa harus dipersalahkan? Atau di mana kelemahannya?
Dalam persekitaran realiti kemungkinan kegagalan-kegagalan seperti ini akan wujud tetapi apabila pihak pelaksana sendiri yang menangguhkan beberapa kali, orang ramai sudah akan bertanya “apa sudah jadi janji-janji masa yang diberikan.”
Ia secara tidak langsung menghakis keyakinan orang ramai.
Ini persoalan yang timbul sebaik sahaja Menteri Kewangan Ahmad Husni Hanadzlah mengesahkan Rang Undang-undang GST tidak akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen yang mula bersidang Isnin ini.
Rabu lalu, Husni sendiri menyebut Kabinet dalam mesyuarat terbarunya hanya membincangkan aspek-aspek GST terutamanya pemahaman orang ramai tentang sistem cukai yang dicadangkan dan pelaksanaannya.
“Kita tidak kata batal. Kabinet membincangkan dengan terperinci pelaksanaannya dari segi kefahaman rakyat dan setakat mana mereka bersedia.
“Kita tidak mahu menghadapi masalah kemudian nanti, yang mungkin menyusahkan rakyat,” kata beliau apabila diminta mengulas spekulasi yang mengatakan pelaksanaan cukai itu dibatalkan.
“Tiada kata putus,” kata Bendahari Umno ini seolah-olah terpaksa menerima pandangan Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) yang dikatakan telah memberitahu Husni rakyat “takut” untuk menerima GST disebabkan tiada maklumat yang sedalam yang mungkin.
BBCBN telah diberikan penerangan mengenai pelaksanaan GST, Isnin lalu oleh Husni.
Timbalan pengerusinya Datuk Bung Mokhtar mahu GST dilaksanakan secara berperingkat-peringkat supaya ia tidak membawa kejutan di kalangan orang ramai.
“Mungkin secara berperingkat-peringkat dalam satu hingga tiga tahun,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan ini.
Anggota BBCBN, Datuk Mohamad Aziz dalam menyokong pendirian itu berpendapat seharusnya rakyat telah diberikan penjelasan sebaik mungkin.
“Jika benar kerajaan mahu membentangkan rang undang-undang ini kemudian (kemungkinan ketika sesi Jun-Julai depan), maka masa yang ada ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk memberi penerangan kepada orang ramai... mengikut sektor supaya orang ramai benar-benar faham akan pelaksanaan GST,” kata beliau.
“Masalahnya rakyat tidak faham tentang tujuan dan kesan GST ini... apabila rakyat tidak faham, benda yang baik pun mereka akan takut untuk menerima,” kata beliau sambil menambah disebabkan tiada penerangan yang jelas mereka takut dan menentang.
BBCBN tidak mengatakan sama ada GST jika dilaksanakan akan membawa kepada kemerosotan populariti BN dalam dua pilihan raya penting akan datang — pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum.
Pada hari Yang di-Pertuan Agong dijadual membuka mesyuarat penggal ketiga Parlimen Ke-12 Isnin ini, Pakatan Rakyat (PR) merancang untuk mengaturkan perhimpunan memprotes pelaksanaan GST. PR mahu menghimpunkan kira-kira 2,000 orang walaupun diberi amaran keras oleh pihak berkuasa polis.
Pengumuman awal mengenai GST dan model ekonomi baru ini bukan baru. Rakyat kali pertama telah mendengar mengenai model ekonomi baru setahun lalu. GST pula lebih awal lagi.
Nampaknya sekali lagi parti kerajaan yang memerintah memberi peluru modal politik kepada PR atau mana-mana pihak bukan berkepentingan politik untuk mencalar usaha-usaha yang cuba hendak diperkenalkan.
Berundur sedikit, perederan masa menunjukkan PR sudah pun menggerakkan usaha menentang GST.
Awal tahun ini Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar telah mengetengahkan pandangan agar sebuah jawatankuasa khas Parlimen yang dianggotai pihak kerajaan dan pembangkang wajar ditubuhkan bagi tujuan itu memandangkan GST melibatkan kepentingan banyak pihak.
Di bawah jawatankuasa khas ini pula wajar ditubuhkan sebuah jawatankuasa kecil
Hari ini, Mahfuz menegaskan pengumuman terbaru ini membuktikan kerajaan pusat pimpinan BN kelihatan tergopoh-gapah dalam melaksanakan GST dan begitu juga model ekonomi baru.
“Ini secara kebetulan kerana ada penentangan, jika tidak kerajaan terus melaksanakan tanpa memperoleh pandangan sedalam-dalamnya daripada orang ramai,” kata beliau sambil mengulangi kerajaan mahu menggunakan GST untuk menjana pendapatan selepas berada dalam situasi masalah kewangan yang serius.
Pokoknya perkembangan semasa satu lagi bukti pihak berkuasa perlu melibatkan penyertaan rakyat segenap lapisan dalam proses membuat keputusan.
Pihak berkuasa perlu sedari walaupun mengadakan pertemuan dengan parti politik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan belum cukup untuk menggambarkan pandangan merentasi rakyat pelbagai lapisan di seluruh negara. Bukan semua wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan benar-benar mempunyai hubungan langsung dengan rakyat jelata.
Pengalaman ini pernah dialami kerajaan masa-masa lalu dan ketika 8 Mac 2008. Nampaknya ia berterusan!
Perkembangan semalam dan hari ini terbukti kerajaan gagal mengambil kira input sedalam mungkin. Usah bergopoh-gapah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.