Halaman

Rabu, 3 Mac 2010

Persatuan setuju batal boikot import ikan: Noh

Oleh Sazarina Shahrim


PUTRAJAYA: Perbalahan di antara Persatuan Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung isu penggunaan kotak berinsulasi, berakhir semalam dengan persatuan itu bersetuju membatalkan tindakan memboikot import ikan dari Indonesia dan Thailand.

Perdamaian yang dicapai selepas pertemuan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dengan 35 wakil persatuan itu, sekali gus meredakan kebimbangan orang ramai berhubung kenaikan harga ikan yang melambung tinggi sejak penggunaan kotak berinsulasi itu berkuatkuasa secara berperingkat, bermula kelmarin.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan hampir tiga jam itu di pejabatnya di sini, Noh berkata, isu berkenaan sudah selesai dan masalah bekalan atau kenaikan harga ikan kini tidak timbul lagi.

Noh berkata, semua isu berbangkit, termasuk soal syarikat membekal kotak berinsulasi sudah diselesaikan dan pengimport bersetuju menggunakannya secara berperingkat sehingga November depan.

“Sebenarnya tiada isu, tetapi lebih kepada salah faham, terutama berhubung soal monopoli satu syarikat pembekal kotak dan pelaksanaannya yang sebenarnya dibuat secara berperingkat dan bukan perlu dilaksanakan secara menyeluruh 1 Mac lalu,” katanya.

Sebelum ini, persatuan itu menghentikan import ikan bermula kelmarin kerana membantah penggunaan kotak berinsulasi sehingga menyebabkan bekalan ikan berkurangan dan harganya naik dengan di sesetengah pasar melambung sehingga 25 peratus.

Bagaimanapun, kementerian tidak berganjak dengan keputusannya dan membidas persatuan itu yang disifatkan lebih mementingkan keuntungan daripada memastikan ikan di pasaran segar serta berkualiti.

Malaysia ketika ini mengimport kira-kira 30 peratus bekalan ikan basah, kebanyakannya dari Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail, berkata pembatalan memboikot itu dibuat selepas mendapat penjelasan terperinci daripada Noh berhubung isu berkenaan.

“Kementerian juga memberi jaminan bahawa pengimport boleh mendapatkan kotak itu daripada mana-mana pengilang, asalkan mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.

“Ada salah faham sebelum ini bahawa pelaksanaan secara menyeluruh dilakukan 1 Mac lalu, sedangkan kementerian berkata hanya melaksanakan sepenuhnya pada November depan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.