HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Mac 2010

Umno-BN Wujudkan Dua Kelas Rakyat Untuk Bolot Kekayaan

Oleh Dzulkarnain Taib


KOTA TINGGI - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masalah yang dihadapi Malaysia bukan berpunca daripada rakyat tetapi tanggungjawab mengurus negara telah diberikan kepada sebuah kerajaan yang korup.

Beliau menyatakan ini terbukti dengan pelbagai skandal rasuah yang melanda negara seperti PKFZ, kapal selam Scorpene, jet pejuang Sukhoi yang melibatkan pimpinan tertinggi Umno dan Barisan Nasional.

"Perdana Menteri berbangga dengan Satu Malaysia tetapi Satu Malaysia bagi Najib ada dua kategori, satu untuk golongan kaya dan satu lagu untuk rakyat.

"Yang kaya sapu semua hak rakyat dan bolot semua harta manakala rakyat hanya ternganga," kata Anwar di majlis makan malam anjuran KEADILAN Cabang Kota Tinggi di sini malam tadi.

Ketua Pembangkang juga berkata Umno-BN mengamalkan "double standard" dalam mentadbir negara.

"Kita lihat kes seorang wanita Melayu Islam minum arak, mahkamah syariah hukum rotan tapi anak bekas Perdana Menteri sampai beli kilang arak terbesar di Filipina, San Miguel, tapi satu amaran pun Umno-BN tak beri.

"Tapi mereka cakap seolah-olah mereka pejuang Islam tapi ada dua jenis peraturan - satu untuk pemimpin yang kaya satu lagi rakyat yang senang ditindas," kata Anwar lagi.

Begitu juga kata beliau bagaimana adik Perdana Menteri boleh muncul antara 40 rakyat Malaysia yang terkaya di negara ini.

"Adik Perdana Menteri kata dia menjadi pengurus bank selama 15 tahun maka itu dia pandai urus wang dan jadi kaya. Begitu juga dengan anak bekas Perdana Menteri yang mempunyai berbilion ringgit. Dari mana mereka dapat semua kekayaan ini kalau tidak mengambil hak rakyat.

"Apa mereka fikir ada dua jenis rakyat ka, satu rakyat tuan dan satu lagi rakyat kuli, mereka ingat kita semua rakyat kuli yang boleh dibuat sesuka hati," kata Anwar dengan penuh semangat.

Menyentuh mengenai Konspirasi II yang disabitkan kepada beliau, Anwar yakin perancangan jahat Umno-BN untuk menyumbatkannya dalam penjara kali kedua tidak akan berjaya.

Ini kerana masyarakat antarabangsa sentiasa memerhati perjalanan demokrasi dan sistem keadilan di Malaysia.

"Berkat doa rakyat dan juga usaha alim ulama di dalam dan luar negara saya yakin dan bertawakkal kepada Allah bahawa mereka boleh merancang segala kejahatan tetapi jika tidak izinkan Allah maka ia tidak akan berjaya.

"Sebab itu saya ingin nyatakan kepada Najib dan Rosmah jangan berlagak sombong hanya kerana mereka ada sedikit kuasa mereka fikir boleh aniaya, aibkan orang dan membuat fitnah," kata Ketua Pembangkang lagi.

Tiada ulasan: