HALAMAN SANTAI

Khamis, 11 Mac 2010

Zulkifli Noordin ….. masuk Umno lebih baik!

FREE MALAYSIA TODAY


Oleh Zainal Abidin NorZul Nordin1

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu, Zulkifli Noordin yang dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) baru-baru ini, tidak diterima oleh PAS walaupun beliau ingin kembali kepada parti itu.

"Sebagai salah seorang pemimpin PAS Pusat saya tidak boleh menerima apa-apa alasan/justifikasi sekiranya PAS bersedia menerima semula Zulkifli sebagai ahli PAS, kecualilah PAS ingin diporakperandakan seperti mana Zulkifli berjaya memporak perandakan KEADILAN sebelum ini," kata peguam PAS, Hanifa Maidin.

Hanifa dalam blognya menganggap Zulkifli sebagai liabiliti bukan aset kepada PAS dan juga mungkin kepada mana-mana parti politik.

"Tidak tahulah kalau Umno anggap beliau sebagai aset. Saya percaya bagi Umno, Zulkifli hanya berguna selagi beliau berada dalam KEADILAN atau Pakatan Rakyat kerana bodohlah jika Umno tidak suka pemimpin Pakatan sendiri ingin hancurkan Pakatan," ujar beliau.

Menurut Hanifa, PAS sebelum ini pernah membuat keputusan memecat Zulkifli apabila beliau melanggar keputusan Majlis Syura yang tidak membenarkan beliau bertanding dalam pilihan raya.

"Bayangkan semasa beliau masih dalam PAS, beliau dengan tanpa rasa bersalah bertanding dalam pilihan raya atas tiket parti lain tanpa restu parti," terang beliau.

Zulkifli, dalam wawancara oleh akhbar Utusan Malaysia dua hari lalu membayangkan bahawa beliau akan memberi pertimbangan untuk menyertai parti Umno.

Beliau menyatakan rasa kecewa terhadap beberapa pemimpin KEADILAN yang dilabelkan sebagai "fir’aun-fir’aun kecil" yang didakwa menjadi dalang dalam penyingkirannya.

Sebelum itu, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyebut, walaupun PAS mengamalkan dasar terbuka dalam keahlian parti namun tidak bermaksud menerima Zulkifli jika beliau membuat permohonan untuk menjadi ahli.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar semalam berkata kehadiran Zulkifli dalam PAS akan mencemarkan nama baik parti itu, sambil merujuk kepada perangai beliau sejak akhir-akhir ini.

Dalam ‘perang mulut’ semalam di antara beliau dengan Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail, beliau mencabar Wan Azizah meletak jawatan kerana tidak berfungsi sebagai presiden dan hanya menjadi penghias muka depan.

Malahan beliau mencabar Wan Azizah bertanding dengan beliau di kawasan parlimen Kulim Bandar-Baharu bagi membuktikan bahawa beliau (Zulkifli) masih diperlukan oleh rakyat.

Zulkifli juga hari ini menarik diri dari mewakili Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam permohonan Anwar supaya mengenakan hukuman qazaf terhadap Saiful Bukhari Mohd Azlan kerana gagal membawa empat orang saksi dalam kes tuduhan liwat.

Tiada ulasan: