Halaman

Ahad, 4 April 2010

BN Dialu Tabur Banyak Lagi Projek Di Hulu Selangor

Oleh Rusnizam Mahat


HULU BERNAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengalu-alukan peruntukan dan perbelanjaan berjuta-juta ringgit yang dicurahkan kerajaan Barisan Nasional ke Hulu Selangor yang disifatkannya sebagai gula-gula politik menjelang pilihan raya kecil pada 25 April depan.

Antaranya, pembinaan empat buah sekolah dan projek perumahan Warga Felda di Gugusan Sungai Dusun di daerah Kuala Selangor yang menelan belanja RM32 juta, RM2 juta lagi untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di

Batang Kali serta meluluskan permohonan RM100,000 bagi pembinaan masjid di kampung yang sama.

Sambil mengucapkan terima kasih, beliau secara sinis menyifatkan peruntukan yang disalurkan kerajaan pusat itu merupakan hak rakyat negeri yang membayar cukai kepada kerajaan.

"Kita memang mengalukan peruntukan tersebut, lebih banyak lebih baik sebab itu duit cukai rakyat Selangor yang belum dibayar kerajaan. Kalau ikut kira-kira kita, kalau 20 peratus pembayaran cukai negara, kalau 10 peratus pun sudah RM1.6 bilion perlu di salurkan ke negeri," kata beliau pada sidang media selepas program turun padang di Hulu Bernam petang semalam.

Menurut Khalid, memang menjadi kebiasaan bagi kerajaan BN yang hanya pandai menabur janji kepada rakyat menjelang pilihan raya dengan menyogok peruntukan mewah kepada rakyat.

"Tapi bayar salah masuk, bayar hanya pada pilihan raya, itu pun janji macam di Ijok masa pilihan raya kecil tapi janji-janji tak ada yang ditunai. Kita tak ada janji, kita buat sahaja.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan pusat, kalau nak bina, binalah, terutama kalau nak bina universiti, kerajaan negeri akan carikan tanah terbaik.

"Kalau betul nak buat universiti jumpa kerajaan negeri dan kerajaan negeri akan beri tanah dan premium pun rendah. Saya akan tolong, kalau mereka tak ada pelan, kita boleh buatkan pelan itu.

"Kita sangat gembira. RM100 juta tidak cukup, bagi RM300 juta, untuk hospital dan universiti. Boleh beri nama Universiti Barisan Nasional atau Universiti 1Malaysia, kita boleh bagi tapi buat di Selangor," ujarnya berseloroh.

Sehubungan itu PAS membidas langkah kerajaan yang menghamburkan pelbagai projek bernilai jutaan ringgit ke Hulu Selangor seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ketua penerangan PAS, Idris Ahmad dalam kenyataannya berkata, dalam kesibukan BN cuba menjadi juara memperjuangkan masalah rakyat di Hulu Selangor, Muhyiddin telah dimalukan dengan pendedahan satu laporan Bernama.

Laporan itu memaparkan kisah empat guru di Sekolah Rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak, termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit yang daif sejak tiga tahun lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.