KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini melancarkan buku mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertajuk 'Najib Razak - A Sense of Mission' tulisan Datuk Dr. Ismail Noor.
Rais memberitahu, buku ini memuatkan banyak jawapan kepada pelbagai persoalan mengenai Perdana Menteri keenam negara.
''Siapakah Datuk Seri Najib Tun Razak, saya mencadangkan buku ini kepada pembaca yang mahu mengenali lebih dekat mengenai pemimpin tertinggi negara.
''Berdasarkan pengalaman, saya juga boleh memberi jaminan bahawa Najib akan terus berada di barisan kepimpinan negara yang mana rakyat Malaysia akan merasa bangga,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan kata pengantar yang ditulisnya semasa melancarkan buku tersebut di Perpustakaan Negara Malaysia di sini hari ini.
Rais memberitahu, beliau merasa berbesar hati dan diberi penghormatan kerana dapat berkhidmat di bawah pemerintahan ayah dan anak merujuk kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan ayah kepada Najib.
''Saya memulakan kerjaya politik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kebudayaan pada 1974 semasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan kini berkhidmat sebagai menteri juga di kementerian yang sama di bawah Najib yang merupakan anak kepada Perdana Menteri kedua negara.
''Rakan-rakan seperjuangan saya tidak dapat peluang begini dan saya sentiasa mengingatkan diri sendiri bahawa seseorang itu akan mendapat nasib yang baik, tetapi paling bertuah adalah dapat mengenali Perdana Menteri yang memimpin negara,'' katanya.
Buku setebal 214 muka surat yang diterbitkan oleh Thinker's Library itu memuatkan 11 bab yang menceritakan mengenai Najib bermula dari hari pertama memulakan kerjaya sebagai ahli politik.
Ismail memuatkan mengenai kisah semasa Najib menjadi Menteri Besar Pahang dan bagaimana ia menaiki tangga sebagai pemimpin negara.
Analisis mengenai beberapa polisi Najib sejak hari pertama menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri juga dimuatkan di dalam buku ini bagi membolehkan orang ramai menilai mengenai pemikiran beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.