KUALA LUMPUR— Kempen rasmi pilihan raya kecil Hulu Selangor belum bermula tetapi PAS, rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) membidas pengumuman projek politik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat sekolah baru bagi bahagian Parlimen Hulu Selangor, semalam.
Selain pembinaan sekolah baru, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa, Batang Kali dan meluluskan permohonan RM100,000 untuk Masjid Al-Sajdin Kampung Sentosa.
Muhyiddin membuat persinggahan di kawasan di Hulu Selangor petang semalam kira-kira lima jam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pilihan raya kecil.
PR akan meletakkan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“PAS tidak menolak peruntukan itu untuk kebaikan rakyat, tetapi mempersoalkan kredibiliti beliau yang juga Timbalan Presiden Umno yang mengumumkan perkara itu menjelang pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri yang bukan Menteri Kewangan beliau dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa membuat rujukan kepada kementerian bertanggungjawab,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad dalam kenyataannya dimuatkan dalam blog beliau.
Idris menambah, sebagai Menteri Pelajaran Muhyiddin memang berhak mengumumkan peruntukan empat sekolah baru yang telah diperuntukan dalam Bajet 2010.
“Tetapi bagi menangani isu banjir, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar kena turun padang.
“Peruntukan untuk masjid pula adalah di bawah tanggungjawab menteri yang jaga Jakim, bukan Timbalan Perdana Menteri. Beliau langsung tidak hormat potfolio menteri lain dan turut mendahului Perdana Menteri,” katanya.
Idris menambah, persinggahan di dua lokasi semalam oleh Muhyddin adalah “lawatan politik”.
“Dan, Muhyiddin pulun habis untuk umumkan semua projek yang sebenarnya diperlukan rakyat sejak zaman BN memerintah lagi.
“Malangnya, dalam sibuk pulun semua isu rakyat di Hulu Selangor beliau dimalukan oleh Bernama dengan pendedahan kisah empat orang guru di sebuah sekolah rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit seluas 20 kaki kali 10 kaki dengan ketinggian hanya tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) sejak tiga tahun lalu,” kata Idris lagi.
Lebih menyedihkan lagi, katanya, bilik kediaman guru-guru berkenaan adalah di bawah bilik darjah tempat mereka mengajar.
“Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan ‘double standard’ Menteri Pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor,” kata beliau.
“Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20 kali 10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta di rumah mereka sahaja.
“Memang mewah guru di Putrajaya kerana kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram,” kata beliau.
Idris menambah, pendedahan ini amat memalukan kerana guru-guru ini mengajar di kawasan Parlimen BN, yang mana Ahli Parlimennya, Datuk Jacob Dungau Sagan adalah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Oleh itu soal Idris, “apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai Ahli Parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini.”
Katanya, PAS melihat pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil dari kudis-kudis yang ada dalam pengurusan Menteri Pelajaran dan kerajaan BN.
“Di luar bandar sekarang masih banyak kawasan yang belum mendapat peruntukan pembangunan yang sewajarnya.
“Jika inilah keadaannya, jangan harap guru-guru dari Semenanjung mahu dihantar bertugas di sana,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan