HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2010

KES SEBANGKAT, HANYA ANIFAH AMAN BOLEH BANTU?

Oleh: MUTALIB M.D


HANYA Menteri Luar, Datuk Anifah Aman yang dapat menghulurkan bantuan dalam misi khas untuk menyelamatkan dua mangsa culik Terumbu Karang Sebangkat, Semporna yang dikesan berada di Tawi-Tawi, Selatan Filipina.

Pengurus Pelantar syarikat penanaman agar-agar di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Salleh Abdul Salleh membuat rayuan berkenaan setelah menerima beberapa maklumat daripada pihak berkuasa Filipina dan sumber tertentu yang mengemukakan beberapa bukti penting yang mengesahkan orang yang ditawan lebih 50 penculik tersebut ialah mangsa Sebangkat iaitu Tsen Vui Chung dan Lai Wing Chau.

“Saya rayu agar Menteri Luar Negeri, Datuk Anifah Aman segera mengutus kawat kepada Kedutaan Malaysia di Filipina dan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur bagi membolehkan usaha menyelamat mangsa dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Filipina,” ujar Salleh yang berterima kasih di atas kesungguhan Polis Di Raja Malaysia dan Menteri Dalam Negeri membantu beliau sekalipun pencarian selama lebih 54 hari menemui jalan buntu.

Kata Salleh, pihaknya tidak lagi dapat bersabar dan terpaksa mengambil ikhtiar sendiri untuk mengesan mangsa dengan bantuan beberapa NGO dan Gabenor di Filipina dan berjaya menemui mangsa culik dalam kawalan ketat penculik.

“Ada pihak yang sedang merundingkan pembebasan tebusan dan masalah utama yang mereka hadapi ialah belum mendapat perkenan Wisma Putra dan untuk itu, saya dan seluruh keluarga mangsa culik merayu ehsan Datuk Anifah agar dapat bertindak segera menghantar surat persetujuan dan pengesahan bahawa kedua-dua mangsa adalah rakyat Malaysia. Itu sahaja. Tugas lain biar pihak kami lakukan sendiri,” ujar Salleh yang mendakwa kedua-dua mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri atau dirampas ketika diculik pada 8 Februari 2010.

Salleh menekankan beliau bimbang dengan perkembangan terbaru di Selatan Filipina apabila Tentera Filipina melancarkan gerakan memburu saki baki kumpulan serpihan Abu Sayyaf yang masih menjadi ancaman dan kini menjadi igauan ngeri kepada dua mangsa culik berkenaan.

“Kita bimbang mereka akan terkena tembakan peluru sesat atau mereka dijadikan perisai ketika cuba berundur daripada kubu mereka yang dikawal rapi. Jika ini terjadi harapan kita untuk melihat mangsa hidup amat tipis. Jadi kita rayu Anifah bertindak segera,” ujar Salleh yang mengakui telah menghubungi beberapa ahli Parlimen Malaysia untuk menimbulkan isu ini di Dewan Rakyat yang sedang bersidang.

Kata Salleh, beliau menggesa 212 Ahli Parlimen Malaysia, termasuk Perdana Menteri agar memberikan sedikit masa untuk membahaskan isu berkenaan kerana melibatkan dua nyawa rakyat Malaysia yang meruncing daripada membuang masa bertelagah sesama sendiri.

“Apakah nyawa Tsen dan Lai tidak mempunyai sebarang nilai bagi semua ahli parlimen Malaysia? Bukankah mereka juga mempunyai satu undi dan menjadi pembayar cukai sejak lahir?,” ujar Salleh yang menaruh harapan yang tinggi agar mendapat kelulusan sebulat suara parlimen berhubung isu ini.

Salleh menegaskan, walaupun PDRM telah menjalankan tugas mereka dengan baik, namun oleh kerana mangsa telah berada di luar Negara, maka ianya menjadi hak beliau untuk tidak memaklumkan situasi terkini bagi mengelakkan keselamatan mangsa terancam.

“Kita telah beri masa yang cukup kepada PDRM dan kemampuan mereka setakat di dalam Negara. Jadi tidak timbul soal kenapa kita harus memaklumkan jika ada pihak yang bersusah payah membantu kita mengesan mangsa di Filipina. Berdasarkan bukti, kita percaya mangsa dalam keadaan selamat. Tetapi jika kita lambat bertindak, mungkin mangsa sukar diselamatkan,” ujar Salleh lagi.

Salleh menjelaskan, beliau turut risau dengan tindakan sekumpulan penculik yang mengambil kesempatan dengan mengirimkan gambar mangsa yang mereka bunuh kerana gagal membayar wang tebusan untuk menakut-nakutkannya.

“Ini soal nyawa pekerja saya. Kita tidak boleh bermain dengan masa dan nyawa mangsa. Walaupun mereka belum menyatakan jumlah wang tebusan yang diminta, namun orang kita sedang merunding untuk membebaskan mereka. Kita berdoa semoga kedua mangsa dapat diselamatkan dengan kerjasama beberapa pembesar Filipina,” ujar Salleh yang menegaskan para pekerjanya hilang kepercayaan kepada PDRM.

Akibatnya kata Salleh, daripada 998 orang pekerja yang bekerja di pelantar penanaman agar-agar di Terumbu Karang Sebangkat, kini hanya tinggal tidak sampai 50 orang kerana mereka bimbangkan keselamatan mereka sekalipun kawalan keselamatan semakin ketat.

Para pekerja yang sedia ada, kata Salleh sentiasa berjaga-jaga dan ada di antara mereka terpaksa membuat senjata pelindung mereka sendiri sebagai langkah pengawasan agar tidak menjadi mangsa penculikan kerana mereka masih percaya kuncu-kuncu penculik masih berada di Semporna untuk mengintip peluang melakukan penculikan baru.

“Pekerja takut kepada kemungkinan berlakunya penculikan baru dan kita pula bimbang pekerja kita akan bertindak balas terhadap kita akibat ketakutan mereka,” kata Salleh yang meminta kawalan keselamatan dijuruskan kepada melindungi pekerja tempatan dan mengepam keluar semua pendatang tanpa izin yang masih tegar di TMTS.

Salleh turut mendesak PDRM agar menghentikan teori 'Orang Dalam' semata-mata kerana seorang pengawal keselamatannya ditangkap kerana disyaki terlibat membantu penculik.

"Tindakan menuduh 'orang dalam' terlibat adalah berunsur malafide dan untuk menjatuhkan perniagaan kami. Kita harap PDRM tidak mengulangi sikap tidak profesional ini," ujar Salleh yang menggesa PDRM meningkat imej mereka sempena ulangtahun ke 203 baru-baru ini.

Dalam pada itu, siasatan Sabahkini.net di Tawi-Tawi dimaklumkan bahawa pihak yang menculik kedua mangsa masih berada di Semporna dan dipercayai memainkan peranan utama dalam insiden penculikan Sipadan dan Pandanan.

“Mereka diketuai oleh seorang lelaki tempatan yang bernama Kalam. Dia selalu menggunakan pelbagai nama dan melakukan penyamaran ketika penculikan dan menjual mangsa kepada kumpulan serpihan Abu Sayyaf atau kumpulan lain yang terlibat dengan penculikan dan pemerdagangan manusia,” ujar sumber Sabahkini.net di Siasi, Filipina.

Tiada ulasan: