HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 April 2010

MB Serah Hak Milikan Tanah Kepada 108 Penduduk Bernam

TV SELANGOR


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan hak milikan tanah kepada lebih 108 penduduk Hulu Selangor.

Khalid berkata pemberian geran 5A ini sudah dirancang sejak 3 bulan lalu, dan usaha ini akan diteruskan sepanjang tahun bersama Pejabat Daerah Hulu Selangor. Kerajaan negeri meletakkan sasaran 100,000 pemberian milikan tanah di seluruh Selangor.

Lebih 500 orang menghadiri majlis bersama Menteri Besar dan Pemimpin Pakatan Rakyat untuk mendengar maklum balas terhadap masalah yang dihadapi masyarakat setempat.

Borang 5A adalah borang pendudukan sementara yang diserahkan kepada pemohon ketika menunggu permohonan hakmilik kekal diluluskan.

Di majlis tersebut, Khalid berkata kerajaan negeri komited untuk membantu warga Selangor menduduki tanah yang sekian lama dinafikan kepada mereka di bawah pentadbiran lalu.

"Pada hari ini menteri besar bersama-sama EXCO telah dapat memberikan borang 5A yang beerti borang itu menunjukkan sekarang mereka-mereka yang diberi borang 5A adalah sah pemilikan tanah tanah mereka"

"Saudara kalau ada hak keatas tanah saudara,saudara sudah duduk lama di tanah tersebut, adalah tanggungjawab mentadbir tanah untuk memberikan hak kepada saudara dan ini janji kita dan ini kita tolong rakyat, itu sebab exco minta pegawai-pwgawai daerah untuk menyelesaikan pemilikan tanah pakai kumpulan satu kampung secara sekali pukal dan bukan 2-3 rumah,”

Penduduk yang sudah menunggu sekian lama untuk mendapatkan hak mereka berasa gembira dengan usaha daripada Kerajaan Pakatan Rakyat hari ini.

"Makcik rasa besar hati la bangga sangat makcik selama ni makcik tunggu tak dapat, terima kasih banyak-banyak la yang tolong bantu dapatkan geran hari ini," kata Ku Embun Ku Seman, 56.

"Sekarang jauh lebih baik dari dulu," kata Ganesan A/L Kannan.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar mengumumkan syarat bagi Tabung Warisan Anak Selangor dilonggarkan bagi membolehkan ibu-bapa mendaftarkan anak-anak yang lahir di luar Selangor untuk manfaat dan feadah skim ini.

Dalam skim ini, mana-mana bayi yang memenuhi syarat akan dicarum sebanyak RM100 oleh kerajaan negeri. Apabila berumur 18 tahun, skim ini matang dan sejumlah RM1500 boleh dikeluarkan.

Tan Sri Khalid berkata Tawas dirumuskan dengan matlamat untuk memudahkan akses rakyat Selangor kepada pendidikan berkualiti di negeri ini.

Mereka yang layak untuk pengecualian terbaru ini adalah ibu-bapa yang telah bermastautin 5 tahun dan keatas.

"Untuk itu cara yang terbaik ialah mereka mendapat kepastian surat penentu dari ketua kampung dan juga penghulu dan juga pegawai daerah”

Sementara itu, Tan Sri Khalid turut dijemput menyampaikan baki bayaran Skim Mesra Usia Emas kepada 73 waris melibatkan kira-kira RM109,500 ringgit dalam satu majlis sederhana di Bernam hari ini.

Program ini bertujuan untuk memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bernilai RM 2,500.00 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas, selepas pendaftar itu disahkan meninggal dunia.

Dengan adanya program seperti ini ia dapat memberikan penganugerahan khususnya golongan warga emas yang telah banyak memberikan khidmat dan jasa kepada masyarakat dan negeri.

Sumbangan-sumbangan ini adalah sebahagian dari program yang terkandung dalam Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, yang dilancarkan 1 Oktober 2008.

Tiada ulasan: