KUALA LUMPUR : Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu semua pihak kembali kepada peraturan bagi mengelakkan berlaku kekecohan sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.
Mursyidul Am Pas itu berkata, setiap kekecohan yang berlaku itu berpunca daripada sesuatu sebab.
Menurutnya, dewan adalah suatu tempat yang mulia dan tempat mereka yang cerdik dan tahu mengenai undang-undang untuk membincangkan sesuatu perkara.
"Untuk mengelak perkara seperti itu berlaku, kita kena kembali kepada peraturan dan undang-undang. Kalau akhirat kita kena ikut agama iaitu al-Quran dan hadis, kalau dunia kita kena ikut perlembagaan dan undang-undang. Semuanya adalah peraturan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, pada hari Jumaat.
Beliau diminta mengulas kekecohan yang berlaku di Parlimen semalam dan Dewan Undangan Negeri Perak antara wakil rakyat kerajaan dan Pembangkang.
Dalam kejadian di DUN Perak Rabu lepas, kesemua 28 wakil rakyat pembangkang keluar meninggalkan sidang dewan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang masuk hari kedua.
Sementara di Parlimen semalam hampir kesemua anggota Parlimen pembangkang mengambil tindakan serupa selepas tamat sesi penggulungan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu beliau menasihatkan pihak berkenaan perlu mengikut peraturan bagi mengelakkan kekecohan yang berlaku.
Dalam ceramahnya, Nik Aziz berkata setiap perbalahan yang berlaku di kalangan manusia adalah berpunca daripada mereka ingin menjaga kepentingan manusia yang lain menerusi hawa nafsu, tanpa berpandukan kepada ajaran Islam.- BERNAMA
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 2 April 2010
Sidang DUN Kecoh, Semua Perlu Ikut Peraturan - Nik Aziz
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan