Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mempertikaikan kewarasan keputusan kerajaan membenarkan pelupusan ekuiti Bumiputera dalam Astro Holdings Sdn Bhd milik jutawan Tan Sri T. Ananda Krishnan.
Astro Holdings mempunyai pegangan saham sebanyak 72.9 peratus di dalam Astro All Asia Networks Plc (AAAN), syarikat yang mengendalikan stesen televisyen satelit, Astro.
Antara pemegang saham terbesar Astro Holdings ialah Khazanah Nasional sebanyak 30 peratus dan Yayasan Bumiputera 12 peratus sementara Usaha Tegas Sdn Bhd milik Annda memegang 57.6 peratus.
Pada 17 Mac lalu Ananda mengumumkan cadangannya untuk menjadikan AAAN sebuah syarikat milik persendirian dengan menawarkan untuk membeli kesemua saham AAAN pada harga RM4.30 sesaham atau keseluruhannya RM8.5 bilion secara tunai.
"Adakah benar perundingan telah mencapai tahap terakhir dan telah menjadi sah tawaran ini diterima dan diberi kebenaran kepada syarikat tersebut untuk memiliki seratus peratus saham AAAN dan menjadikannya syarikat Sdn Bhd?
"Mengapa GLC (syarikat berkaitan kerajaan) memebenarkan ekuiti yang dipegang bagi pihak Yayasan Bumiputera dan Khazanah Nasional di beli 100 peratus oleh Astro Holdings Sdn Bhd?
"Apakah kepentingan atau justifikasi untuk meluluskan atau untuk tidak menimbang langsung kepentingan sebuah syarikat yang bertanggungjawab mengawal penyiaran program dan berita kepada masyarakat untuk dijadikan entiti persendirian?" tanya Azan ketika membahas titah Yang DiPertuan Agong Rabu baru-baru ini.
Azan berkata persoalan dalam minda rakyat ialah mengapa kerajaan sanggup menggadai kepentingan Bumiputera dalam sebuah organisasi perniagaan yang berdaya maju dan menguntungkan.
Pengumuman tersebut menyebabkan saham Astro Holdings melonjak naik kira-kira 20 peratus dari RM3.56 kepada RM4.24.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.