HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 April 2010

Warga Thai bantu RPK?

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin (RPK) mendapat kerjasama seseorang dari Thailand jika benar dia melarikan diri dari negara ini melalui negara jiran itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, sehubungan itu pihak polis akan menyiasat dakwaan bahawa Raja Petra meninggalkan negara ini ke Thailand secara haram melalui Langkawi.

"Saya tak ada maklumat yang tepat di mana dia berada sekarang, tetapi jelas kalau rekod imigresen tidak menunjukkan di mana beliau berada dan bila keluar dari negara ini, bermakna dia mungkin telah menggunakan saluran lain.

"Itu hanya dapat kita kenal pasti sekiranya kita dapat soal siasat tuan punya badan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan balai polis bergerak pertama jenis bas mini di pekarangan bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendakwa Raja Petra yang diburu pihak berkuasa dikatakan meninggalkan negara ini ke Thailand secara haram melalui Langkawi.

Dalam laporan itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Zamil Ibrahim dilaporkan berkata, misteri Raja Petra melarikan diri berjaya didedahkan selepas beliau memperoleh maklumat daripada salinan rekod penghantaran e-mel avenger.malaysia@gmail.com dipercayai milik pengendali laman web Malaysia Today tersebut.

Zamil mendakwa, dalam e-mel kepada seorang wartawan di The Doha Centre For Press Freedom bertarikh 28 Mac 2009, Raja Petra memberitahu, beliau dan isteri, Marina Lee berlepas ke Kedah pada tengah malam sebelum menaiki bot ke Langkawi dari sebuah jeti yang lengang.

Dakwanya, apabila matahari terbit, Raja Petra memberitahu, beliau dan Marina meneruskan perjalanan ke Thailand selama beberapa jam dengan enjin bot mati tiga kali sebelum tiba di Phuket.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei tahun lepas bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Tiada ulasan: