Halaman

Ahad, 2 Mei 2010

33 samseng jalanan kena tolak motosikal

SEBAHAGIAN daripada penunggang motosikal yang ditahan menolak motosikal masing-masing dalam operasi mencegah samseng jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh, awal pagi semalam.

Oleh Nurhayati Abllah


SEBAHAGIAN daripada penunggang motosikal yang ditahan menolak motosikal masing-masing dalam operasi mencegah samseng jalan raya di sekitar bandar raya Ipoh, awal pagi semalam.
Kumpulan lelaki turut diarah nyanyi Negaraku beramai-ramai

IPOH: Seramai 33 samseng jalanan dikerah menolak motosikal masing-masing sejauh kira-kira tujuh kilometer ke Cawangan Penguasa Trafik Kontinjen Perak di Sungai Senam, di sini sebaik ditahan dalam operasi mencegah lumba haram sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Kumpulan lelaki berusia lingkungan 15 hingga 30 tahun itu turut diminta berdiri di pekarangan balai polis untuk menyanyikan lagu Negaraku sebagai simbolik menyatakan kekesalan mereka kerana melanggar undang-undang jalan raya.
Mereka juga diarah menjalani ujian air kencing bagi mengesan penyalahgunaan dadah selepas diberkas dalam operasi antara jam 3 hingga 5 pagi itu yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Trafik negeri diketuai Asisten Superintendan Abdul Malek Abu Bakar.

Gerakkan itu menyaksikan anggota polis yang menyamar bersembunyi di beberapa lokasi termasuk di tepi jalan sekitar bandar raya ini selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan tidak berfaedah oleh kumpulan lelaki terbabit.

Ketua Jabatan Ketentera man Awam dan Trafik Ipoh, Superintendan Wan Abdullah Ishak, berkata sesetengah anggotanya berlagak sebagai penunggang motosikal untuk mengenal pasti lokasi kumpulan samseng jalanan terbabit berkumpul.

“Selepas beberapa jam intipan, anggota kami berjaya mengesan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara berbahaya sebelum mereka ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Sultan Azlan Shah berdekatan Pasir Puteh.
“Hasil pemeriksaan, 33 penunggang dan pembonceng ditahan untuk pemeriksaan lanjut atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memiliki lesen memandu,” katanya.
Wan Abdullah berkata, dalam operasi sama, polis turut menyita tujuh motosikal dan mengeluarkan 47 saman atas pelbagai kesalahan.

“Polis turut meminta semua samseng jalanan yang ditahan menyanyikan lagu Negaraku beramai-ramai di pekarangan balai polis bagi menyuntik semangat kenegaraan selain motivasi untuk menimbulkan kesedaran dalam diri mereka kerana melanggar undang-undang negara,” katanya.

“Setiap operasi yang dijalankan polis bukan bertujuan mencari kesalahan pengguna jalan raya terutama di kalangan mat rempit, tetapi menyedarkan mereka mengenai bahaya berlumba secara haram, sekali gus mengekang kes jenayah jalanan yang sinonim dengan kumpulan terbabit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.