Halaman

Isnin, 3 Mei 2010

PAS desak kerajaan Sokong Iran, Boikot APCO-Israel

Oleh Masdar Wahid

Antara Kain Rentang menarik yang menghiasi  kempen Pilihan Raya Kecil di Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR : Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak Forum Ekonomi Islam Dunia (World Islamic Economic Forum -WIEF) kali ke-6 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 hingga 20 Mei depan membincangkan beberapa isu termasuklah hubungan ekonomi negara-negara Islam dengan Israel secara serius.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, forum yang dihadiri oleh ketua-ketua negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam itu harus melihat perkara tersebut sebagai isu bersama.

“Jika di Malaysia kita dikejutkan dengan hubungan kayu tiga Malaysia-Israel melalui promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat perunding APCO worldwide, Satchi & Satchi serta pelbagai pertemuan sulit pemimpin Umno dan Menteri Israel.

Di negara lain pula ada yang secara terbuka menjalikan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel seperti Indonesia, Turki, Jordan, Mauritania dan beberapa lagi negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada erapakatan.com di sini hari ini.

Menurutnya, perkara ini harus diperhalusi oleh setiap ketua-ketua negara yang kononnya menjadi kumpulan simpatisan kepada Palestin yang dizalimi Israel tetapi pada masa yang sama bersekongkol untuk menyokong Zionis Israel termasuklah kerajaan BN di Malaysia.

Menutnya, kerajaan BN dan semua wakil-wakil negara yang hadir itu mesti memboikot negara haram Israel dan semua syarikat yang ada kaitan dengan pelobi Israel termasuklah APCO.

“PAS yakin umat Islam seluruh dunia menuntut keikhlasan ketua-ketua negara Islam untuk melihat apa yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel kepada Palestin dan segera memulaukan negara haram yang tidak berdaulat itu.

PAS mahu pemimpin-pemimpin Islam secara terbuka menyatakan komitmen mereka dalam forum ini untuk menekan negara haram Israel sebagaimana negara haram itu kini melobi dengan kuatnya di Majlis Keselamatan PBB untuk menekan negara Iran yang menjadi ancaman mereka.

PAS juga mahu, negara-negara Islam menyatakan pendirian mereka terhadap isu di Iraq, Afghanistan dan terkini di Iran.

PAS mahu, ketua-ketua negara Islam menunjukan bahawa mereka boleh bersatu mempertahankan Iran dari dikenakan sekatan ekonomi. Inilah masanya untuk mereka menunjukan kepada dunia bahawa mereka bukan budak suruhan Amerika.

PAS menanti reaksi kerajaan Malaysia dan persiapan Forum ini.

Diharapkan forum yang akan memfokuskan lapan perkara melibatkan soal pelancongan, Logistik, SMEs, pengurusan air, penjenamaan, teknologi pendidikan, keusahawanan dan etika perniagaan, inovasi dan perbankan Islam ini tidak menutup mata dan pemikiran mereka dari memikirkan soal kezaliman Israel kepada Palestin,” tegas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.