Oleh Staf FMT
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini didesak supaya mendedahkan maklumat terperinci kepada Parlimen berhubung "cadangan khusus" Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengenai pertukaran tanah sebelum menandatangani sebarang perjanjian.
Bagi menjawab kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak bahawa Malaysia akan mencapai kata sepakat dengan Singapura menjelang September, Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata,
"Adalah pelik apabila Singapura bersetuju dengan Malaysia berhubung beberapa perkara yang selama ini menjadi pertikaian jika Singapura tidak memperolehi apa yang mereka mahu."
"Kita prihatin bagaimana sesuatu isu yang berlarutan sekian lama boleh secara tiba-tiba diselesaikan dalam tempuh tiga bulan. Ini sangat membimbangkan," tambahnya.
Dilaporkan Najib dan Lee mengadakan mesyuarat selama 45 minit dan bersetuju untuk mencapai kata sepakat mengenai tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Singapura dalam tempuh tiga bulan.
Najib berkata Lee telah mengemukakan "cadangan khusus untuk tawaran pertukaran tanah" dan Malaysia akan "mengkajinya secara terperinci."
Najib bagaimanapun, tidak mendedahkan isi cadangan itu.
Penubuhan syarikat usahasama
Bulan sudah, kedua-dua negara bersetuju untuk memindah stesyen keretapi KTMB Tanjung Pagar ke Woodlands dan bersama-sama memajukan tanah KTMB di Singapura itu untuk memaksimumkan potensinya.
Kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk menubuhkan syarikat usahasama Malaysia-Singapore iaitu M-S Pte Ltd, sebelum 31 Disember ini untuk memajukan tanah yang dikosongkan oleh KTMB.
Khazanah Nasional Bhd dicadangkan memiliki 60% ekuiti manakala syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings memegang baki 40% ekuiti.
Tanah KTMB di Tanjung Pagar, Kranji dan Woodlands dan tiga bidang tanah di Bukit Timah, yang kesemuanya seluas 271 ekar, akan diserapkan ke dalam syarikat usahasama itu untuk tujuan pembangunan bersama.
Tanah KTMB yang telah dibangunkan nanti, akan ditukar ganti, berdasarkan nilai beberapa bidang tanah di Marina South dan Ophir Rochor di Singapura.
Jangan ulangi kesilapan serah blok minyak
Ketika mengajukan beberapa soalan, Azmin berkata, "kami ingin tahu jika persetujuan sudah muktamad dan jika demikian, apa isi kandungan perjanjian itu? Apa yang kita serahkan sebenarnya dan kenapa dalam keadaan yang tergesa-gesa?
"Kami hendak tahu apa maklumat terperinci yang telah dicapai sebab kita tidak mahu insiden kehilangan blok minyak L & M di Sarawak kepada Brunei berulang kembali," tambahnya.
Beliau berkata, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim juga meminta perjanjian Malaysia-Singapura dibawa ke parlimen dan dibincangkan sebelum menandatangani apa-apa perjanjian.
Merujuk kepada kejadian masa lampau apabila bekas menteri kewangan Daim Zainuddin membuat perbicangan sulit dengan Singapura tanpa pengetahuan kebanyakan menteri, Azmin berkata, "perkara seumpama ini tidak harus berulang."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan