Petaling Jaya Kedudukan Ketua Umno bahagian Puchong Datuk Mohamed Satim Diman sama ada akan meletakkan semua jawatan politiknya turut menjadi perbualan dan tanda tanya di kalangan pemimpin Umno bahagian itu.
Beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang selama empat penggal dan juga setiausaha Umno Selangor.
Sikap berdiam diri dan semakin sukar ditemui serta dihubungi sejak kebelakangan ini, menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahli dan penyokong parti.
Seorang ahli Jawatan kuasa (AJK) Umno Puchong, Abdul Hamid Mohd Yusof berkata, Mohamed Satim perlu berterus terang mengenai kedudukan sebenar.
"Malam tadi beliau menghubungi saya dan saya bertanyakan perkara itu kepadanya tetapi jawabannya `jangan bercakap apa-apa’
"Saya tidak puas hati dengan jawaban macam ini. Sebagai wakil rakyat dan ketua bahagian, beliau perlu berterus terang dan bercakap yang benar.
"Kalau ya pun apa salahnya. Saya tidak mahu beliau tinggal (meninggalkan Umno) macam tu sahaja.
"Semua nak jumpa dia susah. Telefon tidak jawab, SMS pun tidak jawab," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas tersebar berita bahawa Mohamed Satim akan melepaskan semua jawatan politiknya.
Dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan parti itu di bangunan Umno di Shah Alam, malam tadi, Mohamed Satim juga tidak hadir.
Berikutan sikap membisu Mohamed Satim telah menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan menyertai parti lawan.
"Seorang kawan saya dari Kelang membuat andaian bahawa orang Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan jutaan ringgit kepada Mohamed Satim.
"Saya tidak terkejut dia masuk PKR kerana sebelum ini dia memang rapat dengan Anwar semasa berada dalam kabinet," katanya.
Abdul Hamid mendakwa, beliau dan rakan-rakan lain dalam Umno bahagian tidak tahu menahu perkara sebenar yang berlaku kepada Mohamed Satim.
Seorang lagi AJK Umno bahagian, Arifin Osman berkata, ahli dan penyokong Umno di peringkat bahagian juga tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
"Orang tidak bercakap apa-apa mengenai perkara tersebut di sini. Yang saya tahu, beliau masih menjalankan tugas sebagai ketua bahagian dan wakil rakyat seperti biasa," katanya.
Bagaimanapun apabila tersebar berita Mohamed Satim akan meletakkan jawatan politik, Arifin mengakui beliau cuba menghubungi Adun Seri Serdang itu melalui telefon untuk mendapatkan pengesahan.
"Tetapi beliau tidak menjawab…SMS juga tidak jawab. Jadi saya tidak tahu sama ada cerita Datuk (Mohamed Satim) nak letak jawatan benar atau tidak," katanya.
Ketua Umno bahagian Selayang, Abdul Syukur Idrus yang juga AJK Umno Selangor berkata, sikap berdiam diri Mohamed Satim ini berlaku baru lagi dan menolak andaian akan melompat parti.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak dapat menghubungi Mohamed Satim sejak beberapa hari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan