HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Jun 2010

Ombak kuat: Pengunjung ke Langkawi diminta berhati-hati

BERNAMA

LANGKAWI – Pengunjung ke pulau peranginan Langkawi diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika mandi-manda di kawasan pantai berikutan keadaan ombak yang tidak menentu sekarang.

Ketika membuat gesaan itu, Ahli Parlimen (MP) Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib turut meminta mereka mematuhi papan tanda peringatan yang dipasang di kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelancongan, Majlis Perbandaran Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi memasang papan tanda peringatan di lokasi tumpuan pelancong bagi tujuan tersebut.

Antara lokasi tumpuan di pulau legenda itu ialah kawasan peranginan Telaga Tujuh, Pantai Tengah dan Pantai Cenang, katanya di sini, hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Barat/Barat Daya dengan kelajuan antara 40 dan 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Phuket, Pulau Pinang serta utara Perak sehingga 1 Julai.

Rabu lepas, bekas jurutera Yuhin Azlan Yusof, 31, dan isterinya, Norita Dahari, 29, mati lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi di Pantai Tengah di sini.

Pasangan dari Batu Caves, Selangor itu bersama 12 anggota keluarga lain sedang bercuti di Langkawi dan dijadual berada di sini sehingga Sabtu ini.

Tiada ulasan: