Halaman

Selasa, 22 Jun 2010

Pembinaan Muzium Polis Bukit Kepong batal

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - :Pembinaan Muzium Polis Bukit Kepong yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) tidak diteruskan kerana tapak projek terdedah kepada ancaman banjir.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, walaupun kerajaan sedar akan kepentingan muzium berkenaan, kajian semula mengenai projek itu mendapati ia tidak boleh diteruskan kerana kos untuk menambak banjir terlalu tinggi.

“Kajian yang dibuat oleh Jabatan Kerja Raya mendapati anggaran kos tambak bagi mengelak banjir ialah RM8 juta, oleh itu projek ini tidak diteruskan,” katanya menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) yang ingin tahu bila pembinaan Muzium Polis Bukit Kepong, di Muar, Johor akan dibina.

Abu Seman berkata, walaupun projek itu dibatal, kementerian telah mewujudkan sebuah Galeri Khas di pondok polis Bukit Kepong yang antaranya mempamerkan sejarah perjuangan polis dan gambar pegawai yang terlibat dalam peristiwa berdarah pada tahun 1950 itu.

Dalam perkembangan lain, Abu Seman berkata, setakat ini kerajaan tidak berhasrat menambah depoh tahanan asing kerana ia mencukupi untuk menampung bilangan pendatang asing yang jumlahnya kadangkala meningkat dan menurun.

“Dalam melaksanakan program ini mungkin kita akan membuatnya mengikut keutamaan. Kalau ada lebih kewangan, kita akan tengok apa yang kita perlu buat,” katanya menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Kepada soalan Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mengenai bidang kerja rakyat Afrika yang membanjiri Malaysia ketika ini, Abu Seman berkata, difahamkan setakat ini tiada pekerja asing dilapor dari Afrika kerana kebanyakannya datang untuk belajar atau melancong di negara ini.

“Bagaimanapun kementerian sentiasa memantau dan mengambil tindakan kepada warga Afrika yang telah terlibat dengan jenayah antaranya pengedaran dadah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.