KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rancangan penswastaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur masih lagi pada peringkat perancangan dan kajian.
Menurut beliau, sekiranya rancangan itu menjadi kenyataan, kementerian akan menentukan bahawa perpindahan Pusat Operasi Tentera Udara (POTU) tidak akan menjejaskan sistem yang telah dibangunkan.
"Kementerian juga akan menjelaskan supaya perpindahan hanya akan dilaksanakan selepas segala tugas pembuktian dan pelancaran dijalankan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) pada persidangan Dewan Rakyat.
Ahmad Zahid berkata sistem radar bersepadu yang telah dibangunkan tidak akan terjejas kerana Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai sistem yang berlebihan sebagai alternatif terhadap sistem radar bersepadu negara.
"Pada keseluruhannya keselamatan ruang udara tidak akan terjejas disebabkan pemantauan berterusan masih dilaksanakan di Sektor Pusat Operasi pada setiap masa," katanya.
Beliau berkata pada masa kini TUDM telah menubuhkan satu pasukan kajian bagi memastikan segala isu yang melibatkan lokasi penempatan, keperluan infrastruktur dan kos diambil kira agar tiada permasalahan timbul selepas pemindahan berlaku.
Tiada tender terbuka
Dalam pada itu, ketika menjawab celahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan tender terbuka untuk rancangan penswastaan itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan sentiasa telus dalam setiap perkara yang dilakukan.
"Ini bukan soal enggan mengadakan tender terbuka, asalkan penswastaan ini diikut, kepentingan kerajaan dijaga dan nilai hartanah dibangunkan itu tidak kurang daripada nilai dibuat mengikut harga pasaran dan nilai yang ditentukan kerajaan, saya fikir itu adalah cara yang telus," katanya.
Ahmad Zahid berkata cadangan penswastaan itu telah dikemukakan kepada kabinet oleh tiga syarikat iaitu 1Malaysia Development Corporation Berhad yang bekerjasama dengan Tradewinds dan Kini Wangsa Sdn Bhd.
"Bagaimanapun, kedua-dua cadangan (Tradewinds dan Kini Wangsa) didapati tidak dapat diberikan pertimbangan, mungkin ada kriteria tertentu yang ditetapkan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU).
"Maka, cadangan daripada 1Malaysia Development Corporation dengan LTAT telah diterima dan oleh kerana ia masih di peringkat kelulusan prinsip serta tiada Surat Niat.
Maka kementerian dan EPU sedang kaji secara terperinci sebab prinsip yang kami tekankan ialah kawasan itu tidak boleh dibangunkan selagi semua kemudahan dan peralatan sedia ada tidak diganti di suatu tempat yang baru," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.