HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Julai 2010

Pos Malaysia Tidak Rugi – PAC


azmi Oleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendakwa kerugian yang dialami Pos Malaysia bukannya berpunca dalam penyata imbangan (balance sheet), tetapi saham yang dilaburkan dalam Transmile Bhd.

"Tiada kerugian dalam Pos Malaysia dari segi "balance sheet". Kalau ada kerugian pun kerana saham dalam Transmile jatuh daripada 14 sen pada 2007 kepada 39 sen hari ini.

"Pegangan saham Pos Malaysia dalam Transmile Bhd lebih kurang 15 peratus," kata Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa itu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mendengar penjelasan daripada bekas Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Adam Kadir berhubung kerugian yang ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Setelah dua hari bermesyuarat dan mendengar penjelasan daripada Pos Malaysia, Khazanah Nasional dan Adam, Azmi berkata pihaknya akan meneliti perkara ini dan akan membentangkannya dalam Dewan Rakyat sebelum sesi penggal ini berakhir.

"Setakat ini kami sudah selesai mendengar penjelasan daripada ketiga-tiga pihak yang berkaitan. Masih ada lagi beberapa soalan yang akan kami tanya kepada Khazanah Holdings dan Kementerian Kewangan.

"Begitu juga beberapa notis jawapan bertulis daripada Pos Malaysia dan Khazanah yang belum dikemukakan kepada kami," terang beliau.

Azmi berkata, "jika ada apa-apa persoalan yang masih belum jelas kemungkinan pihak terbabit akan dipanggil semula. Tapi saya jamin PAC akan membuat kesimpulan dan cadangan akan dibentangkan di Parlimen sebelum sesi penggal ini berakhir," katanya.

Ditanya mengenai hasil pertemuan PAC dengan Adam, Azmi berkata pihaknya telah pun selesai mendengar masalah dan bukti yang dikemukakan bekas Yang DiPertua Dewan Negara itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butir penjelasan dan bukti yang diberikan Adam mengenai krisis Pos Malaysia kepada PAC.

"Saya tidak boleh dedahkan kerana ada antara butir maklumat sudah pun menjadi bahan bukti mahkamah kerana Khazanah sudah pun mengambil tindakan undang-undang terhadap Adam.

"Kes ini kalau sebut secara terperinci terlalu sensitif kerana mungkin ada percanggahan dengan tindakan undang-undang yang mereka (Khazanah) ambil," katanya.

Implikasi sangat luas

Sementara itu, Adam yang ditemui pemberita selepas perjumpaan dengan PAC berkata segala keterangan berkaitan dakwaannya telah didedahkan kepada PAC dan kini terpulang kepada Jawatankuasa tersebut untuk membuat kesimpulan.

"Saya dah beri penjelasan dan bukti mengenai perspektif saya. Terpulang kepada PAC untuk buat kesimpulan apa yang sebenarnya berlaku dalam Pos Malaysia…perlu diingat pada ketika itu saya Pengerusi Pos Malaysia.

"Jadi saya ada maklumat sendiri yang orang lain tidak ada. Rekod tersebut saya dah tunjukkan kepada mereka (PAC)," ujar beliau.

Ditanya mengenai butir rekod yang diberikan kepada PAC, Adam bagaimanapun enggan mendedahkannya.

"PAC banyak bertanya tentang penjelasan disebalik implikasi pengeluaran wang RM800 juta dan penjualan saham dalam Transmile yang dibatalkan.

"Saya cuma tunjukkan bukti rekod pada PAC tapi rekod itu masih dalam simpanan saya. Saya tak dapat dedahkan kepada orang ramai kerana bimbang implikasinya sangat luas," katanya.

Tiada ulasan: