HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Julai 2010

Harussani sahkan temu Hasan bincang isu perpaduan Melayu

SINAR HARIAN

SHAH ALAM - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengesahkan pernah mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bagi membincangkan isu perpaduan orang Melayu.

Beliau turut menegaskan, Hasan adalah satu-satunya pemimpin Pas yang pernah berjumpa dengannya namun pertemuan itu langsung tidak menyentuh mengenai kerjasama politik UMNO dan Pas.

“Kami memang tidak membincangkan langsung pasal kerjasama politik UMNO dan Pas tetapi berbincang tentang perpaduan orang Melayu di negara ini kerana kami melihat orang Melayu semakin berpecah.

“Kami hanya membincangkan soal bagaimana untuk mencari jalan penyelesaian untuk menyatukan perpaduan dalam kalangan orang Melayu, itu sahaja,” katanya.

Harussani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasan semalam yang mengaku pernah mengadakan pertemuan dengan beliau dua bulan lalu, tetapi menafikan mereka membincangkan soal kerjasama politik UMNO dan Pas.

Hasan turut menyatakan pertemuan itu sebagai sebahagian daripada persediaannya untuk mewakili kerajaan Selangor dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, tiada parti yang layak untuk membincangkan soal perpaduan orang Melayu kecuali UMNO dan Pas.

“Perpaduan orang Melayu boleh berjaya sekiranya kerjasama UMNO dan Pas dapat diwujudkan kerana saya melihat UMNO memperjuangkan orang Melayu manakala Pas pula memperjuangkan Islam, jadi siapa lebih layak untuk mewujudkan perpaduan orang Melayu.

“Melalui perbincangan satukan orang Melayu boleh mencari jalan penyelesaian tetapi jadi makin teruk pula,” katanya.

Tiada ulasan: