KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan semakan kehakiman ESQ Leadership Centrer Sdn Bhd Selasa depan bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharamkan program motivasi itu
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi dan Kuasa-kuasa Khas Datuk Zawawi Salleh.
Peguam yang mewakili ESQ Abu Bakar Jais berkata, sepatutnya keputusan pendengaran permohonan tersebut akan diketahui hari ini tetapi hakim minta supaya diserahkan permohonan tersebut kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) terlebih dahulu.
“Sepatutnya memang tidak perlu serahkan tetapi hakim minta supaya permohonan itu diserahkan juga kepada MAIWP untuk respons.
“Dalam perbicaraan hari ini kita hanya membincangkan sama ada mahkamah sivil mempunyai kuasa untuk mendengar kes ini, itu sahaja.
“Jadi apa-apa nanti kita tunggu minggu depan,” kata beliau.
ESQ menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh sebagai responden.
Pada 26 Julai lalu ESQ telah memfailkan permohonan supaya dibenar membuat semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan berhubung ajaran dan fahaman yang dibawa syarikat itu.
Permohonan itu difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas melalui Tetuan Hisham, Sobri dan Kadir.
Semalam Pengurus Besar ESQ Malaysia Marhaini Yusoff berkata, pihaknya memohon semakan kehakiman bagi membatalkan fatwa yang dikeluarkan oleh Wan Zahidi.
Wan Zahidi telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran, pegangan serta fahaman yang dibawa ESQ dimana pengasasnya adalah warga Indonesia Dr Ary Ginanjar Agustian, dan apa-apa ajaran seumpama dengannya, adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi perkara yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam, selain meminta orang ramai menjauhinya.
Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan, dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual.
Program itu disediakan dengan aktif di beberapa negara di Asia dan Eropah, termasuk di Malaysia sejak 2006.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan