SELANGOR KINI
SHAH ALAM – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menyerahkan memorandum meminta Kerajaan Selangor menyiasat dakwaan skandal melibatkan seorang pegawai kanan berhubung pelantikan kontraktor yang dibuat secara lantikan terus.
Timbalan Ketua DAPSY Selangor, Cheong Siow Foon berkata, pihaknya memperoleh maklumat berhubung perkara tersebut daripada sebuah blog yang mendedahkan projek penyelenggaraan parit dan longkang di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), melibatkan kos RM3 juta.
Menurutnya, laman blog tersebut, antara lain, mendedahkan pembabitan pelantikan 27 syarikat yang masing-masing memperoleh lebih RM100,000 untuk tempoh setahun.
“Di blog itu, ada surat-surat yang dikeluarkan Kerajaan Negeri. Kalau benar surat itu dikeluarkan, kami mahu Kerajaan Negeri memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Kita mungkin cadang perkara ini dibawa ke mesyuarat Exco, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) untuk dapatkan jaawapan,” katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin, di sini semalam.
Katanya, apa yang menjadi persoalan ialah mengapa projek yang melibatkan peruntukan yang begitu besar tidak dibuka untuk tender.
“Adakah kes ini jelas melanggar prinsip ketelusan yang diamalkan oleh Kerajaan Selangor?.
“Kami juga mahu tahu apakah sebenarnya prosedur pelantikan kontraktor tersebut? Siapa yang bertanggungjawab memilih senarai kontraktor?,” katanya.
Siow Foon mahu tahu apakah pegawai tersebut berkuasa penuh meluluskan permohonan itu, tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak terlebih dahulu.
Pihak DAPSY Selangor juga, katanya, meminta Kerajaan Negeri menjelaskan siapakah Exco yang terlibat dalam skandal itu dan bagaimana ada segelintir kontraktor yang tiada dalam senarai Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) boleh dilantik dan menerima projek begitu besar.
Faekah, ketika ditemui, berkata beliau akan serahkan memorandum itu kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau percaya ia akan diserahkan kepada pegawai kanan itu untuk penjelasan.
“Ini bukan kali pertama. Perkara ini pernah dibawa Dewan Pemuda Pas Julai lalu,” katanya. – SINARHARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.