PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) portal berita "The Malaysian Insider", Jahabar Sadiq menafikan sebarang hubungan dengan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) mahupun pemimpin-pemimpin kanan kumpulan tersebut seperti didakwa Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.
Berikutan itu, Jahabar berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut mahupun Zahrain kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya itu.
Malah beliau sendiri tidak pernah bertemu dengan Zahrain dan cukup terkejut dengan kenyataan yang dilemparkan ke atasnya.
Beliau berkata, "saya tidak tahu mengapa Zahrain membuat kenyataan sedemikian dan saya menafikan wujudnya sebarang hubungan antara saya dengan pemimpin-pemimpin kanan Bendera itu.
"Saya dah berkecimpung dalam media selama 33 tahun dan saya mengenali ramai orang sepanjang saya terbabit dalam bidang tersebut. Saya juga pernah berkhidmat di Indonesia sebagai penerbit kanan untuk Reuters pada 2008-2009.
"Malah saya pernah bertemu dengan beberapa ahli Bendera. Mereka mungkin mempunyai kad saya," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.
Jelas beliau, jika perkara tersebut cuba dikaitkan dengan ‘hubungan’ itu maka ia boleh dikaitkan dengan mana-mana parti di Malaysia juga termasuklah Perkasa.
"Saya tidak lihat isu ini sepatutnya ditimbulkan. Jika mereka mengaitkan saya dengan hubungan dengan Bendera, maka saya juga mempunyai kaitan dengan Umno, MCA, MIC, DAP, PAS, PKR malah Perkasa juga ada kad nama saya, jika ingin mengaitkan saya dengan mereka itu.
"Saya akan menyerahkan isu ini kepada peguam saya untuk tindakan selanjutnya," katanya. Media arus perdana boleh dipercayai?
Menurut Jahabar, dakwaan yang dimainkan oleh Utusan ini jelas bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa media arus perdana ‘boleh dipercayai’.
"Artikel Utusan bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri, dan perkara ini secara tidak langsung memberi kesan kepada profesionalisma kewartawanan di mana setidak-tidaknya mereka menyemak fakta atau menghubungi saya untuk mendapatkan maklum balas.
"Ini masalah media arus perdana di Malaysia. Mereka hanya tahu menuduh, bukan untuk berbincang dengan sesiapa yang mempunyai pandangan alternatif. Sedangkan mereka bebas untuk bekerjasama dengan ahli-ahli politik yang mempunyai pandangan yang sama.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Zahrain mengaitkan Jahabar dengan tiga pemimpin kanan Bendera iaitu Mustar Bona Ventura (Koordinator Bendera), Adian Napitulupu dan Serdi Semaun.
Zahrain turut mendakwa beliau mempunyai kaitan dengan siri provokasi dan penghinaan yang berlaku ke atas Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.