HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 September 2010

Peningkatan kos bahan kimia dan elektrik faktor tarif air naik

SINAR HARIAN ONLINE

ALOR SETAR - Penstrukturan semula tarif air yang akan berkuatkuasa esok (1 Oktober) di Kedah dibuat berdasarkan peningkatan kos bahan kimia dan elektrik selain tarif dan pelarasan yang dikuatkuasa pada 1 Mac 1993 lalu tidak pernah dibuat semakan semula.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) Datuk Adzmi Din berkata, kos bahan kimia untuk rawatan air setiap tahun dari tahun 2003 hingga 2009 meningkat antara RM0.225 juta dan RM0.836 juta.

"Kita menjangkakan bagi tahun ini kos penggunaan bahan kimia meningkat melebihi RM5 juta," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan penggunaan elektrik juga tinggi dan meningkat setiap tahun bagi tempoh 17 tahun yang lepas iaitu antara RM0.613 juta dan RM4.789 juta dan bagi tahun ini ia dijangka akan meningkat melebihi RM30 juta.

"Lebih 50 peratus kos pengeluaran air merupakan kos elektrik kerana semua loji dan pam air menggunakan kuasa elektrik bagi menyalurkan air bersih kepada pengguna," katanya.

Adzmi berkata, peningkatan yang berlaku itu menyebabkan Sada perlu menyemak semula keseluruhan kos bagi membolehkan syarikat itu melaksanakan tugas sebagai pembekal air di Kedah secara efisyen.

"Jika dilihat secara keseluruhan dengan mengambil kira 17 tahun tidak dibuat semakan, kenaikan ini hanya kira-kira 1.6 peratus setahun. Jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Johor dan Selangor, kenaikan ini jauh lebih rendah dan tidak mebebankan rakyat," katanya.

Pada sidang media itu, Adzmi telah mengumumkan kenaikan tarif air di Kedah iaitu bagi bekalan air untuk kegunaan domestik, dari kosong hingga 20 meter padu akan dinaikkan kepada RM0.50 berbanding tarif lama RM0.40.

"Bagi penggunaan 20 hingga 35 meter padu dinaikkan kepada RM0.90 bagi satu meter padu berbanding RM0.70 sebelum ini dan penggunaan melebihi 35 meter padu dinaikkan kepada RM1.30 berbanding RM0.90 sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, bagi kategori-kategori lain seperti komersial, industri dan perkapalan, tarif air dinaikkan antara RM0.05 hingga RM1.20 bagi satu meter padu manakala untuk institusi keagamaan dan kebajikan, tarif air dikekalkan.

Tiada ulasan: