SHAH ALAM: Keluarga remaja mangsa tembakan polis Aminulrasyid Amzah Isnin lalu berjaya menemui pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membersihkan nama mangsa daripada status penjenayah setelah dua kali gagal dalam cubaan menemui menteri terbabit sejak empat bulan lalu.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, pertemuan beliau bersama ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad, kakaknya, ahli PIBG SMK Seksyen 11 serta diiringi peguam di Putrajaya kira-kira 3.00 petang pada awalnya mahu berjumpa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Tetapi mereka sedikit hampa apabila hanya timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop yang sudi berjumpa dan mendengar permintaan mereka.
"Melalui perbincangan kira-kira setengah jam dengan Abu Seman, kami memohon supaya nama arwah (Aminulrasyid) dibersihkan daripada gelaran penjenayah dan kerajaan serta polis perlu tarik balik kenyataan mereka sebelum ini.
"Kami juga menuntut pengiktirafan bahawa arwah tidak ada terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah dan polis sepatutnya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid.
"Namun saya menghargai Abu Seman yang sudi berjumpa kami dan beliau turut melahirkan rasa simpati kerana mengenali arwah bapa Aminulrasyid yang juga teman sekampung beliau," katanya dalam sidang media disini hari ini.
Khalid berkata walaupun beliau memberi jaminan bahawa isu ini akan diadili sepenuhnya di mahkamah yang akan bersambung pada Selasa depan, namun ia hanya satu keputusan bagi menentukan sama ada pegawai polis yang didakwa itu bersalah atau tidak.
Reputasi arwah
"Bergantung sejauh mana pihak Peguam Negara ingin bela reputasi arwah. Jika keputusan mendapati polis terbabit bersalah sekalipun, ia tidak dapat membebaskan nama arwah daripada terus dilabel sebagai penjenayah.
Aminulrasyid Amzah, 15, maut dalam satu kejadian tembakan oleh polis peronda ketika remaja itu sedang memandu kereta di Seksyen 11 di Shah Alam 26 April lalu.
Berikutan itu, Koperal Jenain Subi, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan