KUALA LUMPUR– Tun Dr Lim Keng Yaik menegaskan beliau tidak akan menarik balik keputusannya mahu melepaskan jawatan penasihat Gerakan yang diumumkan semalam ketika parti itu sedang berusaha untuk memujuk beliau agar mengubah pendirian.
Jawatankuasa kerja Gerakan dijadual bermesyuarat malam ini untuk membincangkan isu Dr Lim dan masalah membabitkan Gerakan Pulau Pinang.
The Malaysian Insider difahamkan kepimpinan parti enggan menerima keputusan Dr Lim untuk berhenti daripada menjadi penasihat.
Mereka dikatakan sedang memikirkan beberapa opsyen untuk membawa Dr Lim kembali ke jawatan itu.
“Kami tidak menerima (keputusan beliau). Kami sedang mencari jalan untuk bercakap dengan beliau,” kata Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow ketika dihubungi.
Bagaimanapun Dr Lim yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, beliau sudah tidak lagi berminat untuk mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh kepimpinan Gerakan.
Dr Lim menambah, tiada gunanya untuk kekal dalam Gerakan apabila Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon membawa parti ke arah “kemusnahan”.
“Saya tidak mahu kemudian orang mengatakan bahwa saya orangnya memberikan nasihat yang salah. Tak mungkin,” kata beliau ketika dihubungi.
Semalam, Dr Lim mengumumkan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai penasihat parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan Koh dan tidak menghiraukan nasihat cara untuk menangani masalah parti.
Dr Lim juga mengecam Dr Koh memilih untuk menghadiri mesyuarat agung MCA Ahad ini dan enggan menghadiri mesyuarat agung luar biasa Gerakan Pulau Pinang, yang diadakan bagi membawa usul undi tidak percaya terhadap Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan.
Koh pula berkata penasihat parti itu Dr Lim yang meradang dan meletak jawatannya, mungkin disebabkan salah faham.
Koh berkata beliau sentiasa memantau dan mencari jalan penyelesaian kepada mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Pulau Pinang, sama ada secara terus dengan pemimpin utama atau secara tidak langsung dengan pemimpin pelbagai peringkat lain di negeri itu.
“Walaupun saya dan Tun Dr Lim telah bercakap mengenai keadaan Pulau Pinang sebelum ini, beliau telah membayangkan akan menyerahkan kepada saya dan pimpinan yang ada bagi mencari penyelesaian.
“Oleh sebab itu, saya tidak menghubungi beliau secara terus selepas tindakan EGM timbul pada 15 September. Ini mungkin membawa kepada beberapa salah faham,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dr Koh, yang melahirkan harapan bahawa pertikaian dalam Gerakan Pulau Pinang akan dapat diselesaikan, telah menekankan bahawa perbezaan perlu diselesaikan melalui saluran parti dan cuba seboleh-bolehnya mengelakkan daripada mengadakan EGM.
“Bagaimanapun, jika mereka yang telah menandatangani petisyen EGM mendesak atas tuntutan demokrasi, maka proses demokrasi perlu berjalan lancar.
“Tapi semua orang mesti menerima keputusan dan merapatkan barisan, seperti rayuan terbuka yang saya buat pada sidang perwakilan parti negeri Pulau Pinang pada 26 September,” katanya.
Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pertimbangan utamanya ialah bagi memelihara perpaduan parti, terutama di Pulau Pinang dan maruah personaliti utama yang telah banyak menyumbang kepada parti.
“Harapan saya ialah dengan atau tanpa EGM, pemimpin parti di Pulau Pinang akan bersatu padu dan memberi perhatian untuk berkhidmat kepada orang ramai dan parti itu,” katanya.
Koh, yang mengesahkan bahawa ibu pejabat parti itu telah menerima surat peletakan jawatan Dr Lim bertarikh 4 Oktober selepas pukul 4 petang semalam, meminta anggota parti supaya bertenang.
“Saya sedang dalam proses berbincang dengan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat parti kerana Tun Dr Lim merupakan penasihat parti dan bukan hanya buat saya secara peribadi,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini meminta Koh supaya memberi keutamaan kepada EGM Gerakan Pulau Pinang pada Ahad ini.
Dr Chua berkata Koh seharusnya berada di Pulau Pinang pada hari berkenaan dan bukannya menghadiri mesyuarat agung tahunan (AGM) MCA di Kuala Lumpur.
“Nasihat saya kepada beliau ialah, parti (Gerakan) memerlukan kebijaksanaan beliau untuk menyelesaikan isu berbanding dengan menghadiri AGM kami (MCA). Saya bukanlah cuba untuk bergurau atau menyinggung perasaan orang lain,” katanya kepada pemberita di sini.
Dr Chua mengulas kenyataan Koh yang tidak akan menghadiri EGM Gerakan Pulau Pinang Ahad ini memandangkan beliau terlebih dahulu telah menyatakan kesediaannya untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan MCA pada hari yang sama.
Keputusan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu untuk tidak menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang kurang disenangi oleh beberapa pemimpin parti, termasuk Dr Lim yang memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai penasihat parti itu semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.