Halaman

Jumaat, 8 Oktober 2010

Peguam: Tak benar dakwaan pembantu Anwar dipaksa tandatangan akuan sumpah

PETALING JAYA – Ketua Penerangan PKR mendakwa laporan polis dibuat Rahimi Osman dua tahun lalu membuktikan dia tidak pernah dipaksa untuk menandatangani akuan bersumpah mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dua tahun lalu.

Latheefa Koya juga mendakwa bahawa Rahimi, bekas pembantu Anwar, secara sukarelawa telah bekerjasama dengan pasukan peguam Ketua Umum Pakatan Rakyat semasa menandatangani akuan bersumpah di Quality Hotel pada 28 Jun 2008.

“Dakwaan Rahimi bahawa akuan bersumpah telah dipinda untuk memasukkan nama Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor tanpa kebenarannya tidak benar sama sekali dan tiada kredibiliti langsung,” kata beliau.

Ini kerana menurut Latheefa (gambar), kenyataan dibuat Rahimi kepada polis pada 23 Julai 2008 di Bukit Aman mengesahkan yang dia mengetahui Mohd Saiful Bukhari Azlan pernah bertemu dengan Najib dan Rosmah, kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Mohd Saiful membuat aduan polis pada 28 Jun 2008 bahawa dia diliwat oleh Anwar.

Latheefa menambah, Rahimi hanya mendedahkan maklumat itu selepas ia dikemukakan kepada polis.

“Rahimi berkongsi maklumat ini dengan kami selepas ditemu bual oleh polis.

“Dia juga memberitahu polis mengenai pertemuan Ezam (Mohd Noor) dan SAC Rodwan,” katanya.

Malah kata beliau, penglibatan individu-invidu ini turut disahkan oleh Modh Saiful ketika keterangan di mahkamah.

Kes liwat ini sedang didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Ezam dan Mumtaz Jaafar telah dipanggil untuk dikenal pasti.

“Najib Razak juga pernah memaklumkan kepada media bahawa beliau pernah bertemu dengan Saiful semasa dia datang ke pejabat,” katanya.

Rahimi adalah rakan satu sekolah Mohd Saiful dan dipercayai telah dirujuk kepada Anwar agar mengambil dia kerja pada 2008.

Semalam, seorang peguam pasukan Anwar, Sankara Nair dalam reaksinya menafikan dakwaan Rahimi bahawa bekas pembantu Ketua Umum Pakatan Rakyat itu telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah berkaitan kes liwat akhir Jun 2008.

Sankara berkata, Rahimi menandatangani akuan bersumpah itu secara sukarela selepas mengadakan pertemuan dengan peguam-peguam Anwar di Quality Hotel dua tahun lalu.

Sankara juga berkata Latheefa, yang juga salah seorang peguam kes Anwar dalam kes liwat terbaru sekarang ditanggungjawabkan untuk mendapatkan tandatangan Rahimi pada akuan bersumpah yang dimaksudkan.

Rahimi mendakwa dia telah dipaksa mengaitkan Najib dan Rosmah kes liwat kedua dihadapi Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah.

Rahimi berkata dia telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful.

Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.

Laporan polis dibuat Rahimi kira-kira 3.03 petang tadi.

Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata dakwaan dibuat Rahimi adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkan PKR dan peguam-peguam Anwar.

“Sepanjang masa, dia secara sukarela telah memberikan kerjasama dan bertemu dengan peguam-peguam apabila diminta membantu.

“Meskipun dia tidak digaji di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia terus datang ke ibu pejabat kerana pelbagai alasan dan terus ikut kempen-kempen pilihan raya kecil,” katanya.

Latheefa menekankan segala tindakan mereka sehingga kini adalah atas prinsip profesional dan Rahimi tidak dikenakan sebarang tekanan ataupun pengaruh sebagaimana dia dakwa.

Sehubungan itu katanya, beliau mendapati adalah sesuatu yang tidak munasabah secara tiba-tiba selepas lebih dua tahun dan akuan bersumpah tersebut tidak digunakan, malah tidak menjadi satu isu selain mendakwa dokumen tersebut tidak dibuat secara sukarela.

Naib Presiden PKR R. Sivarasa pula menambah Rahimi boleh didakwa melakukan sumpah berbohong yang merupakan kesalahan jenayah.

Peguam yang mewakili Latheefa dan Saiful Izham juga mengesahkan bahawa satu surat tuntutan akan dihantar kepada Rahimi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata partinya memandang berat atas percubaan beberapa orang, yang mengakui sebagai penyokong parti itu untuk menggagalkan sidang media diadakan oleh Rahimi di Klang semalam.

“Mereka dilaporkan sebagai bertindak kasar dan mengeluar kata-kata kesat pada masa itu.

“Hal ini tidak membantu kes fitnah kedua terhadap Anwar Ibrahim, bahkan menjejas imej parti,” kata beliau.

Kata Syed Husin, PKR tidak pernah merestui, apatah lagi mengarah tindakan kumpulan tersebut.

“Orang yang dikatakan memimpin kumpulan ini bukannya naib presiden parti ataupun pembantu khas Anwar, seperti mana dilaporkan oleh sesetengah media.

“Namun begitu kami berpendapat bahawa Rahimi, bekas pembantu Anwar telah berbohong dalam laporan polisnya yang mendakwa beliau dipaksa membuat surat sumpah.

“Perkara ini akan dijelaskan oleh peguam dalam sidang akhbar tengah hari ini,” kata beliau dalam satu kenyataan pagi tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.