HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 Oktober 2010

Pemuda Umno usaha ahli balik mengundi

BERNAMA


Pergerakan Pemuda Umno akan memastikan lebih 1,000 ahlinya yang berdaftar sebagai pengundi di DUN Galas, Kelantan, pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya kecil DUN itu nanti.

Pengerusi biro keahlian dan daftar pemilih Pemuda Umno Hisamudin Yahya berkata sekiranya semua ahlinya yang berada di luar Galas terutama di ibu negara dapat pulang mengundi, peluang calon BN untuk menang dalam pilihan raya kecil itu cerah.

"Dalam pilihan raya umum yang lepas, kerusi DUN Galas dimenangi calon PAS dengan majoriti undi sebanyak 646 undi sahaja.

"Mereka (PAS) hanya menang dengan jumlah undi yang cukup kecil sahaja dan sekiranya kita mampu memastikan kepulangan pengundi luar khasnya di kalangan Pemuda, pasti kerusi DUN Galas akan dapat dirampas kembali," katanya kepada pemberita selepas program ziarah Pemuda Umno bersama-sama penghuni Rumah Amal Nur Kasih Bestari di Bota Kanan di Parit hari ini.

Beliau berkata Pemuda Umno Bahagian Gua Musang telah diminta menyerahkan senarai nama anggota Pemuda yang berada di luar Galas terutama ibu negara untuk dikesan dan dihubungi oleh pihak biro.

"Selain memastikan mereka (anggota) dapat pulang untuk mengundi, seperti biasa kita juga akan menghantar sekumpulan petugas untuk membantu jentera pilihan raya di DUN Galas," katanya.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas akibat barah usus.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan hari penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas.


Tiada ulasan: