Halaman

Selasa, 5 Oktober 2010

Sistem kuota: Pemaju mahu kaedah baru atasi unit Bumiputera tak laku

KUALA LUMPUR — Majlis Pemaju-pemaju Malaysia (MDC) merayu kerajaan-kerajaan negeri dan pusat agar menggunakan satu system lebih telus dan terbuka, yang tidak membebankan para pemaju dalam menangani isu rumah dan hartanah bawah system kuota Bumiputera yang tidak dapat dijual.

MDC yang terdiri daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) dan Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda) berkata, kaedah semasa yang digunakan untuk melepaskan unit-unit di bawah kuota Bumiputera kepada pasaran umum menjadi satu beban kepada pemaju.

Justeru, MDC mengesyorkan agar digunakan mekanisme penjualan secara automatik berdasarkan satu sistem yang menggunakan kriteria-kriteria yang lebih telus.

“Sistem penjualan secara automatik boleh dilaksanakan dengan menggunakan skala masa yang ditentukan lebih awal,” kata MDC dalam satu kenyataan kepada media.

“Tidak harus ada sumbangan susulan, levi, penaliti daripada atau ke atas pemaju semasa penjualan (unit-unit kuota ini dibenarkan),” kata MDC lagi.

Sehubungan itu menurut Presiden Rehda Datuk Michael Yam, antara 30 hingga 70 peratus unit di sesebuah kawasan perumahan dan hartanah diperuntukkan untuk pembeli kalangan Bumiputera, bergantung pada negeri dan mereka diberikan diskaun antara lima hingga 15 peratus.

Sistem kuota dan diskaun diperkenalkan untuk meningkatkan kuasa pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera dan Melayu di bawah Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan awal 1970-an.

Pemaju-pemaju boleh memohon untuk melepaskan unit-unit di bawah sistem kuota kepada umum tetapi Yam berkata, proses berkenaan terlalu subjektif dan ia boleh memberi kesan ke atas arah aliran tunai para pemaju memandangkan proses kelulusan “sangat perlahan atau tidak membantu” mereka.

Justeru, beliau mempersoalkan keperluan bagi para pemaju membayar diskaun lima hingga 15 peratus kepada agensi-agensi kerajaan negeri sebaik sahaja penjualan unit kuota ini dibenarkan.

“Kita memerlukan satu mekanisme yang telus dan terbuka,” kata Yam lagi.

Beliau mengesyorkan kepada pihak berkuasa melihat kemungkinan mengguna pakai sistem penjualan secara automatik sebagaimana diamalkan di Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.