Halaman

Isnin, 4 Oktober 2010

Umno Abai Warga Emas, Pakatan Rakyat Bela Kebajikan


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Rakyat Pulau Pinang khususnya warga emas diminta agar tidak terpedaya dengan propaganda dan dakyah pemimpin Umno yang tiba-tiba berlagak hero sebagai pembela, sedangkan sebelum ini, golongan tersebut semasa era pemerintahan Umno-Barisan Nasional langsung tidak dihargai dan diabaikan.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim menegaskan selepas gagal meniupkan api perkauman sempit dan memanipulasi isu agama bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Umno kini mencuba nasib sekali lagi dengan mengheret warga emas yang selama ini diabaikan kebajikan mereka oleh kerajaan Umno-BN sejak mereka mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

"Ini tidak menghairankan, apabila buat julung kali Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Penghargaan Warga Emas, iaitu sumbangan sebanyak RM100 setahun dan RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia, Umno mempertikaikannya dengan menuduh kerajaan negeri cuba merasuah rakyat.

"Terbaru, mereka menuduh Kerajaan Negeri menggunakan wang hasil judi untuk membiayai program tersebut.

"Pemimpin Umno kini cuba menunjuk alim, seolah-olah mereka membenci judi dan rasuah, hakikatnya semua premis perjudian yang beroperasi di negara ini, diluluskan oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan," jelas Abdul Malik.

Ia bermula dengan pembinaan kasino pertama di Genting Highland sekitar tahun 1969.

Katanya lagi, jika Umno benar ikhlas mereka sepatutnya membersihkan dahulu ‘najis’ itu di peringkat kerajaan pusat, termasuk tidak membiarkan orang Melayu Islam menjadi lembaga pengarah syarikat perjudian.

"Apabila kita menerajui Kerajaan Negeri pada Mac 2008, kita memperkenalkan dasar urustadbir Cekap, Akuantabiliti, Telus (CAT), yang membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah negeri ini.

"Sewaktu pentabiran BN, bajet pada tahun 2008 dianggarkan defisit sebanyak RM35.6 juta dan pada tahun 2009 defisit sebanyak RM39.4 juta.

Bagaimanapun, hasil urustadbir CAT, kerajaan berjaya mencatatkan lebihan sebanyak RM88 juta pada tahun 2008 dan RM77 juta pada tahun 2009," jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung itu.

Tambahnya lagi, jumlah pada tahun 2009 sepatutnya mencapai sebanyak RM92 juta, sekiranya Kerajaan Negeri tidak perlu membayar kepada pihak berkenaan yang menurutnya hasil penyelewengan tanah dalam isu Tang Hak Joo sewaktu pemerintahan Umno-BN .

Hasil pentadbiran berjimat cermat inilah membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada warga emas melalui Program Sumbangan Warga Emas, dan kepada golongan miskin tegar melalui program Rakan Miskin Tegar (RAK) yang diperkenalkan pada tahun 2008.

"Menyedari Program RAK adalah inisiatif murni kerajaan negeri untuk membasmi miskin tegar, banyak pihak tampil untuk membantu kerajaan negeri dengan menghulurkan sumbangan mereka, termasuk daripada Kelab Lumba Kuda.

"Seperti yang dijelaskan sebelum ini, menyedari sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, maka sumbangan tersebut telah diasingkan dan hanya digunakan untuk golongan miskin tegar bukan Islam.

"Perlu ditegaskan kepada orang Islam, baik warga emas ataupun golongan miskin tegar, wang yang mereka terima selama ini adalah hasil lebihan belanjawan kerajaan negeri, bukannya hasil sumbangan judi seperti yang didakwa pemimpin Umno," ujar beliau lagi.

Justeru itu, mereka yang telah menerima sumbangan tersebut, tidak perlulah merasa ragu dan bimbang untuk membelanjakan wang berkenaan kerana Kerajaan Negeri sememangnya telah memperuntukan sebanyak RM20 juta kepada mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.