KUALA LUMPUR – Karpal Singh mendesak agar Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim didakwa berhubung kesalahan hasutan atas alasan memerlukan tindakan perundangan tegas selepas beliau digantung daripada menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) selama enam bulan.
Karpal (gambar) yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sewajarnya mendakwa Azhar di bawah Akta Hasutan 1948 ekoran pendirian DUN semalam.
Pengerusi kebangsaan DAP ini berkata, pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan selepas peristiwa 13 Mei 1969 membolehkan seseorang itu dikenakan pendakwaan jenayah meskipun kata-kata sedemikian dikeluarkan di dalam DUN.
“Saya agar terkejut kerana DUN tidak merujuk perkara ini dalam bentuk laporan polis supaya tindakan boleh diambil ke atas Azhar di mahkamah,” katanya.
Karpal berkata, walaupun DUN telah menerima tindakan Azhar yang menarik balik kata-kata dikeluarkannya, undang-undang perlu memainkan peranan yang diperuntukkan.
Katanya, tindakan menarik balik kata-kata yang dikeluarkan bersamaan dengan perbuatan mengaku mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Ia bersamaan dengan pengakuan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948,” kata Karpal kepada pemberita di sini hari ini.
Azhar digantung selama enam bulan berkuat kuasa 17 Ogos lepas hingga Februari depan daripada menghadiri DUN kerana didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur hasutan pada persidangan DUN 16 Mei lepas.
Keputusan itu diluluskan oleh Yang Dipertua DUN Datuk Abdul Halim Hussain pada persidangan semalam setelah usul yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun segala saraan dan elaun beliau sebagai Adun Penaga dikekalkan.
Terdahulu pada perbahasan yang diadakan selepas pembentangan usul itu, Azhar dari Barisan Nasional, bertegas dengan pendiriannya tidak mahu memohon maaf disebabkan beberapa perkara iaitu tiada dakwaan khusus untuk mengenakan hukuman terhadap dirinya.
“Selain itu usul yang dirujuk juga cacat dan bercanggah dengan peraturan 37 kerana usul itu tidak pernah dibahaskan sebaliknya speaker ketika itu terus mengambil keputusan mengemukakan masalah itu dan satu undi telah diambil,” katanya.
Katanya faktor lain, ialah setiap perkataan kesat yang dirujuk telah ditarik balik dan diterima oleh dewan tanpa sebarang reaksi.
Azhar sebelum itu telah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Abdul Halim dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali, beliau juga telah memberi penjelasan berhubung perkataan yang disebut pada persidangan 6 Mei lepas.
Pada mesyuarat yang diadakan itu juga Azhar telah diminta untuk mengemukakan permohonan maaf tetapi beliau enggan berbuat demikian.
Karpal menambah, Lim seharusnya membuat satu laporan polis terhadap Azhar dan jika laporan polis dibuat, ia tidak akan memerlukan siasatan mendalam kerana segala apa diperkatakan oleh Azhar sudah pun dirakamkan dan ada dalam penyata DUN.
Peguam itu juga mengingatkan Peguam Negara bahawa beliau dari sudut perlembagaan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan tanpa rasa takut dan bimbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.