Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, kerajaan telah mengambil tindakan ke atas penolong pengarah BTN Hamim Husain pada 6 Oktober lalu kerana mengeluarkan kenyataan yang menyinggung masyarakat India dan Cina.
“Berhubung pegawai BTN, satu amaran telah pun dikeluarkan dan pegawai itu telah digantung daripada tugasnya bermula 6 Oktober,” kata Nazri ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjong Piai Datuk Wee Jeck Seng di Dewan Rakyat pagi ini.
Wee meminta kerajaan menjelaskan bilangan pegawai kanan sektor awam yang berhadapan dengan tindakan disiplin kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan rasis.
Dalam responsnya, Nazri berkata, “tiga orang berhadapan dengan tindakan disiplin”, merujuk kepada Hamim dan dua lagi pengetua iaitu dari Kulaijaya, Johor dan juga Bukit Selambau, Kedah.
Bagaimanapun Nazri mempertahankan BTN daripada dakwaan bahawa agensi itu menggalakkan elemen-elemen rasis dalam kursusnya.
Kata beliau, kenyataan rasis Hamim tidak menggambarkan kursus-kursus kendalian agensi kerajaan itu.
Hamim merupakan Penolong Pengarah BTN Wilayah Persekutuan dan beliau dilantik secara kontrak.
Beliau telah menafikan dakwaan mengeluarkan kenyataan rasis pada majlis anjuran Puteri Umno pada 27 September dan telah membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Sentul.
Dalam ceramahnya itu, beliau meminta Puteri Umno berkawan dengan bukan Melayu tetapi melabelkan Cina dan India sebagai “si mata sepet” dan “si botol”.
“Si mata sepet yang tidak pernah pergi ke masjid atau ke surau juga hanya mempunyai satu undi.
“Si botol yang hanya tahu naik dan turun Batu Caves juga hanya mempunyai satu undi,” kata beliau merujuk kepada masyarakat Cina dan India negara ini.
“Jadi, Puteri Umno mesti berkawan dengan golongan muda bukan Melayu,” kata beliau lagi,
Kenyataan yang dibuat Hamim dikecam pemimpin-pemimpin MIC dan DAP sambil menyifatkan konsep 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi ‘mangsa’ tindak tanduk pihak di sekitarnya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.