Halaman

Khamis, 4 November 2010

Kerajaan tidak beri penjelasan kes saman ekor – Mahfuz


mahfuzOleh Halim Mat

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kesal terhadap tindakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof yang tidak memberi sebarang jawapan kepada persoalan yang dibangkitkannya di Dewan Rakyat pagi tadi mengenai isu saman ekor.

"Adalah tidak wajar bagi seorang Timbalan Menteri bersikap serba tidak kena di dalam Dewan Rakyat dan tidak memberikan sebarang jawapan apabila persoalan yang begitu meresahkan rakyat kini dikemukakan kepadanya," katanya.

Dalam jawapannya kepada soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil), Abu Seman menjelaskan bahawa saman ekor sebenarnya adalah notis saman yang dikeluarkan oleh mahkamah kepada pesalah jalan raya yang ingkar terhadap Notis POL 170A yang dikeluarkan ke atas mereka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam soalan tambahannya, Mahfuz (PAS-Pokok Sena) membangkitkan bahawa mangsa yang disenaraihitam yang datang mengadu rata-rata mendakwa bahawa mereka tidak pernah diberikan notis atau surat saman.

Mereka juga, katanya, tidak dihadapkan ke mahkamah dan terus disenaraihitam. Abu Seman bagaimanapun tidak memberikan sebarang jawapan apabila perkara itu dibangkitkan oleh Mahfuz.

Ketika ditemui selepas itu, Mahfuz menjelaskan bahawa Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan bahawa suatu notis kepada pemilik kenderaan hendaklah dikeluarkan supaya pemilik memberikan maklumat tentang pemandu yang memandu kenderaan berkaitan yang dikatakan melakukan kesalahan lalulintas.

"Setelah maklumat diterima atau tidak diterima, pihak polis atau JPJ perlu mengeluarkan saman di bawah Seksyen 53 Akta yang sama yang menghendaki pemilik atau pemandu hadir ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan kesalahan yang dikatakan telah dilakukan.

Polis anggap pemilik kenderaan melakukan kesalahan

"Tetapi, saman di bawah Seksyen 53 Akta ini tidak dikeluarkan sebaliknya polis terus menganggap pemilik kenderaan melakukan kesalahan dan perlu membayar kompaun ataupun denda mandatori.

"Apabila saman tidak dibayar, pemilik kenderaan terus disenaraihitam," kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Malangnya, kata Mahfuz, timbalan menteri berkenaan tidak memberikan sebarang jawapan apabila soal ketiadaan notis dan saman itu dibangkitkan.

Mahfuz juga mengulangi keazamannya untuk memperjuangkan isu tersebut sehingga saman ekor dimansuhkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.