Halaman

Sabtu, 6 November 2010

Penganalisis: Kuasai Galas, Batu Sapi bukan petanda sebenar BN ‘kian kuat'



KUALA LUMPUR — Penganalisis politik Profesor A. Aziz Bari berpendapat walaupun Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan berganda pada pilihan raya kecil serentak semalam, tetapi ia bukan petanda pentadbiran Najib sudah kembali diterima rakyat sepenuhnya.

“Kenyataan ialah Barisan baru menang lima daripada 13 pilihan raya kecil yang diadakan sejak Ogos 2008.

“Jika Barisan benar-benar kuat, ia sepatutnya menang di kesemua 13 pilihan raya yang telah diadakan dan tidak di kawasan pedalaman sahaja,” kata penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider.

Oleh itu kata beliau, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi bukan satu aras tanda perikatan itu kian kuat.

“Tiada yang hebat dalam kemenangan di Batu Sapi dan Galas ini.

“Kedua-dua kerusi ini adalah kerusi mereka, sebagaimana di Batang Ai, Bagan Pinang dan Hulu Selangor,” ujar beliau lagi.

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BN tidak harus mengambil mudah dengan kemenangannya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas, sebaliknya perlu terus berusaha memastikan kejayaan serupa dicapai pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Muhyiddin berkata, walaupun kejayaan itu menampakkan adanya perubahan baik dan harapan kepada BN menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak, tetapi ia tidak boleh diambil mudah.

“Kita tidak boleh ukur kemenangan di Galas dan Batu Sapi. Walaupun ada perubahan besar, perubahan yang baik, tetapi BN tidak boleh ambil sikap mudah dengan perubahan dan kejayaan ini kerana kita masih ada banyak kerja yang perlu dibuat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 setelah memperoleh kemenangan berganda semalam.

BN merampas kembali kerusi DUN Galas di Kelantan dengan majoriti undi 1,190 selain mengekal kerusinya di Parlimen Batu Sapi, Sabah dengan majoriti besar iaitu 6,369 undi.

Bagaimanapun A. Aziz (gambar) mengakui kemenangan Umno sepatutnya memberi isyarat penting kepada kerajaan Kelantan yang diterajui PAS sejak lebih 20 tahun lalu.

“Satu signal yang penting untuk pentadbiran negeri Kelantan.

“Jangan terlalu selesa walaupun telah melepasi tempoh 20 tahun memegang kuasa,” kata beliau.

Jelas beliau, Umno yang dikatakan kuat itu masih tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil seterusnya.

“Kita tengok apakah Barisan bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di (Parlimen) Batu atau dua kerusi DUN di Kedah.

“Kita tahu Barisan terkial-kial untuk mengelak pilihan raya kecil di situ,” katanya.

“Malangnya ini disahkan oleh mahkamah. Walaupun kita tidak mengatakan mahkamah bersekongkol tetapi sebagaimana dalam kes-kes lain keputusan memihak kepada Barisan meskipun di sisi undang-undang ia sukar dipertahankan,” ujarnya.

Sambil tidak menolak bahawa terdapat beberapa kelemahan pada perjenteraan PAS, A. Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata, kemenangan BN kali ini seakan disebabkan salah guna jentera kerajaan pusat sendiri.

“Pada PRU (pilihan raya umum) tidak mudah untuk Barisan (Nasional) menggunakan agensi kerajaan seperti JHEOA umpamanya,” ujarnya.

Bercakap soal trend pengundian yang di luar jangkaan semua pihak, beliau mempunyai pandangan tersendiri.

“Dan, mungkin pengundi sengaja tidak mahu memprovokasi Barisan kerana kalau ia tewas kemungkinan ia jadi lebih ‘ganas’, itu memang ada dan agensi seperti SPR dan polis akan lebih berat sebelah,” dakwa beliau.

Disebabkan itu, beliau berkata kedua-dua pilihan raya kali ini tidaklah memberi impak berantai pada landskap politik Malaysia.

“Dalam konteks Malaysia pilihan raya kecil adalah sesuatu yang sepatutnya dimenangi oleh BN yang turut dibantu oleh SPR dan sistem yang tidak adil.

“Ini tidak semestinya memberi gambaran positif bagi pilihan raya kecil.

“Dalam pilihan raya kecil ini tidak ada perubahan, siapa pun menang kerajaan negeri dan pusat tetap sama,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman mengemukakan persoalan “apakah yang BN hendak dibanggakan dengan kemenangan ini.”

“Mereka perlu bertanya diri mereka sendiri, bermaruahkah kemenangan ini dengan segala macam penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan?

“Berselindung di sebalik jentera kerajaan untuk berdepan dengan jentera parti Pakatan Rakyat, adil dan beranikah BN?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, bagi Pakatan Rakyat, kekalahan semalam memberi makna bahawa Galas dan Batu Sapi bakal kembali dimenangi dalam pilihan raya umum akan datang sebagaimana terjadi di DUN Pengkalan Pasir, Kelantan dan DUN Ijok dua tahun lalu.

“Kerana pilihan raya kecil bukanlah ukuran kekuatan BN melainkan sebagai ukuran kekuatan jentera kerajaan yang menggempur Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

25 ulasan:

  1. BN telah pun menag di kedua-dua PRK ini. ini menunjukkan BN diterima baik oleh rakyat di Galas dan Batu Sapi. namun, BN perlu terus bekerja keras untuk memastikan rakyat terus menyokong BN.

    BalasPadam
  2. Andaian dan analisis setiap orang memang berbeza. Jadi tidak salah jika artikel ini berkata demikian. Apa pun kita boleh nampak sendiri BN menang kedua-dua tempat ini dengan majoriti. Ini tidak mustahil BN tidak akan menang lagi ditempat lain. Apa pun nantikan PRU13.

    BalasPadam
  3. itu mungkin pendapat anda, namun dpt dilihat bahwa ini menunjukkan bahwa rakyat semakin menyokong BN. namun,kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi tidak boleh membuat BN leka. BN harus tingkatkan usaha dalam memenangi hati rakyat.

    BalasPadam
  4. Kedua-dua BN dan PKR masih perlu berusaha lagi jika mahu mendapatkan sokongan rakyat.

    BalasPadam
  5. Yang menang janganlah angkuh, yang kalah teruskan usaha.

    BalasPadam
  6. Tahniah diucapkan kepada yang menang.

    BalasPadam
  7. “Ini tidak semestinya memberi gambaran positif bagi pilihan raya kecil. Dalam pilihan raya kecil ini tidak ada perubahan, siapa pun menang kerajaan negeri dan pusat tetap sama,”

    bila pembangkang kalah inilah antara kata2 yang keluar dipihak mereka.. tapi bila BN yang kalah mereka akan kata ini adalah gambaran positif dan bakal membawa perubahan yang besar bla,bla,bla.. apa salahnya terima kekalahan dan ucap tahniah kepada yang menang..

    BalasPadam
  8. PAS tidak habis2 dengan tuduhan kononnya berlaku penyelewengan, salahguna jentera kerajaan, tidak adil..... tapi mereka pun melakukan perkara yang sama.. sedarlah dengan kelemahan sendiri.. terimalah kenyataan bahawa kelantan akan jatuh ketangan BN..

    BalasPadam
  9. Masih boleh lakukan revolusi jika parti yang menang tidak menjalankan tanggungjawab lagi.

    BalasPadam
  10. Ini petanda bahawa rakyat masih lagi percaya akan kepimpinan BN dan memperlihatkan rakyat dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.

    BalasPadam
  11. Mungkin benar kemenangan BN tak menjanjikan mereka bakal menang besar next GE. Tapi saya yakin BN akan semakin kukuh di hati rakyat.

    BalasPadam
  12. Sekurang-kurangnya kemenangan ni petanda BN mampu menambat hati rakyat.

    BalasPadam
  13. Semoga BN akan teruskan usaha dan buktikan pada rakyat mereka sememangnya layak menang :)

    BalasPadam
  14. Jika BN berjaya nuktikan perjuangan mereka adalah utk rakyat, tidak mustahi BN bakal menang besar next GE nanti.

    BalasPadam
  15. So kepada BN keep up the good work :)
    Do ur best supaya kemenangan tu tak sia2 :)

    BalasPadam
  16. mungkin bukan petanda sebenar BN kian kuat namun menunjukkan perubahan positif kepada BN di mana rakyat ingin yakin kembali kepada peneraju kerajaan.

    BalasPadam
  17. saranan TPM harus diambil berat oleh setiap parti komponen BN..sekarang adalah masa untuk memantapkan parti sebelum menghadapi kemungkinan PRU13 yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.

    BalasPadam
  18. pendekatan dan strategi kerajaan berteraskan slogan 1Malaysia, dilihat semakin mendekati rakyat malaysia yang berbilang kaum. jika dipraktikkan sepenuhnya semangat 1Malaysia 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' maka tidak mustahil BN akan menang pada PRU akan datang dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan kini.

    BalasPadam
  19. yang penting, kerajaan terus fokus kepada penyelesaian isu2 rakyat. jika hanya retorik, maka tidak mustahil rakyat akan berpaling arah..oleh itu, pemimpin2 serta wakil2 rakyat harus lebih kerap turun padang untuk mengenal pasti dan memberikan penyelesaian kepada apa2 isu rakyat walau sekecil mana pun.

    BalasPadam
  20. Setuju dengan pendapat pengalis. Pengundi Batu Sapi kebanyakannya berpendapatan rendah dan Galas pula undi orang asli sangat berpengaruh dan mereka tidak puas hati dengan isu tanah rakyat yang menjejaskan mereka.

    BalasPadam
  21. Segala pandangan dari semua sudut harus dikaji BN. Pandangan itu dibuat bukan sekadar meneka, pasti ada hikmahnya.

    BalasPadam
  22. Masa depan sukar dijangka. Hanya Tuhan Maha Kuasa yang tahu. Tetapi satu pekara yang pasti ialah Tuhan memberkati orang yang jujur dan setia dengan ajaran Tuhan.

    BalasPadam
  23. Kemenangan kedua2 tempat sememangnya bukan pengukur kekuatan BN yg sebenar, tetapi satu indikator bahawa rakyat mula yakin kembali kepimpinan BN setelah pilihanraya lepas gagal untuk mempertahankan kejayaan yg sedia ada...

    BalasPadam
  24. Majoriti pengundi telah memilih BN dan ini membuktikan BN tetap pilihan orang ramai. Mereka masih percaya dengan kebolehan BN. Tahniah BN!

    BalasPadam
  25. Walaubagaimanapun,BN tidak harus mengambil mudah dengan kemenangan mereka di Galas dan Batu sapi kerana ia setakat pilihan raya kecil, belum lagi pilihan raya umum. Oleh itu, teruskan usaha BN.

    BalasPadam

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.