HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 November 2010

Staf kerajaan langgar disiplin akan ke Parlimen, kata Nazri

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Najib akan membentangkan senarai komprehensif kakitangan awam yang melanggar peraturan disiplin dan ‘kurang inisiatif’, kata Datuk Seri Nazri Aziz hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, kerajaan sedang mengumpulkan senarai nama kakitangan awam yang melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan bertindak sebagai ‘little napoleons’.

“Kerajaan telah bertindak ke atas kesemua pegawai yang melanggar peraturan. Bagan (Lim Guan Eng) mendakwa bahawa ada pegawai-pegawai yang bertindak seakan ‘little napoleons’,” kata beliau ketika menggulung ucapan perbahasan Bajet 2011 di Parlimen hari ini.

Kata beliau, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk pendekatan pencegahan jika didapati adanya pegawai-pegawai yang berlagak seperti ‘little napoleons’.

Perkara itu pada awalnya dibangkitkan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipor Timur yang bertanya sama ada kerajaan mengambil tindakan ke atas ‘little napoleons’ dalam perkhidmatan awam.

Dalam responsnya, Nazri berkata, beliau hanya boleh menyediakan butiran mengenai pegawai-pegawai yang tidak menunjukkan prestasi yang baik atau yang melanggar undang-undang.

Nazri berkata beliau akan mengumpulkan data daripada Jabatan Perkhidmatan Awam sebelum mengemukakannya di Parlimen.

“Istilah ‘little napoleons” adalah terma bagi menggambarkan pegawai-pegawai yang menyukarkan sistem penyampaian.

“Tetapi saya akan memberikan senarai nama pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang perkhidmatan awam,” katanya lagi.

Lim yang kelihatan tidak berpuas hati dengan jawapan Nazri mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mengaku bahawa wujudnya ‘little napoleons’ dalam perkhidmatan awam.

“Boleh anda memberikan jumlah tindakan yang telah diambil ke atas ‘little napoleons’?” kata Penasihat DAP ini.

Lim menambah, sikap kerajaan yang tidak memberikan respons ke atas soalan-soalan yang dibangkitkan di Parlimen dengan baik menyumbang kepada persepsi buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam negara.

Apabila Nazri enggan melayan permintaan Lim dan soalan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu bertindak keluar Dewan Rakyat dalam perasaan marah.

Beberapa minit selepas itu, wakil rakyat tersebut menghantar mesej menerusi Twitter, yang antara lain berbunyi:

“Bertindak keluar (dari) Dewan kerana protes apabila Nazri mengakhiri (ucapan) selepas dua jam tanpa menjawab soalan berkaitan dengan isu-isu seperti indeks rasuah TI (Transparency International) atau ucapan Najib di Umno (Perhimpunan Agung Umno).”

Ketika ditemui pemberita kemudian, Nazri berkata, perkara-perkara yang tidak dijawab dalam peringkat awal perbahasan Bajet 2011 boleh dibawa ketika peringkat jawatankuasa.

Tiada ulasan: