SINAR HARIAN ONLINE
MARANG- Jemaah haji yang ingin mendaftar bagi menunaikan haji untuk kali kedua dan se:terusnya perlu menunggu sehingga sembilan tahun bagi membolehkan nama mereka disenaraikan semula di dalam sistem.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, ia bagi memberi peluang lebih ramai jemaah haji yang ingin menunaikan haji buat kali pertama.
Menurutnya, di Tabung Haji sendiri telahpun mengamalkan satu sistem iaitu apabila seseorang itu sudah menunaikan haji dan terdapat dalam senarai nama individu yang telah pergi menunaikan haji, sistem tidak akan membolehkan mereka mendaftar untuk tempoh sembilan tahun.
Katanya, ini bermakna mereka tidak akan dapat menunaikan haji dalam tempoh itu, kecuali mengikuti haji melalui pakej swasta.
“Sistem ini untuk membolehkan jemaah haji yang lain mendapat peluang untuk menunaikan haji supaya lebih adil kerana setakat ini kita hanya mendapat kuota satu peratus, iaitu 25,000 orang setiap tahun.
“Kita tidak menolak ada masyarakat kita yang mampu, tapi mereka perlu ke pakej swasta. Tidak adil untuk memberi subsidi kepada orang yang sama dalam tempoh 9 tahun itu, kita beri peluang kepada mereka yang masih belum berpeluang menjadi tetamu Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengikuti program Juara Rakyat peringkat Parlimen Marang di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai di sini, semalam. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Marang, Yahya Khatib Mohamad
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mashitah berkata, Tabung Haji akan memaklumkan kepada Arab Saudi untuk menambah kuota rakyat Negara ini pada masa depan, seiring dengan pertambahan jumlah rakyat Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan