HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Disember 2010

Bukti Jelas Perkauman Umno

azizahkuBahagian Akhir

Oleh Kim Quek

Namun orang yang cuba "memperindahkan" episod ini ialah menteri kabinet Umno di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Abdul Aziz yang cuba menepis kritikan daripada Wan Azizah.

Beliau berkata, ‘Ketuanan Melayu’ bukan mengenai bangsa Melayu tapi mengenai Kesultanan Melayu. Perkataan itu dicipta bagi melindungi kedaulatan Raja-Raja Melayu, bukan untuk menekankan ketuanan bangsa.

Ketika Nazri boleh menganggap dirinya genius dengan mengeluarkan interpretasi baru untuk mengelak dari perangkap ‘Ketuanan Melayu’, namun masih tidak dapat diterima.

Asas perjuangan hegemoni Umno ialah ideologi perkaumannya yang berjaya memikat penyokong tegar dan ‘Ketuanan Melayu’ dicipta untuk menzahirkan bahawa orang-orang Melayu lebih berkuasa.

Pelaksanaan dan indoktrinasi ideologi inilah yang membawa kemenangan kepada Umno dari satu pilihan raya umum kepada satu pilihan raya umum yang lain dan Umno tentu tidak bersedia untuk mengenepikan doktrin ini untuk apa jua sebab.

Hakikat bahawa Umno mempraktikkan perkauman dimanifestasi secara perlahan-lahan dan progresif dengan "memelayukan" keseluruhan pentadbiran kerajaan sejak pergaduhan kaum 1969 sehingga ia menjadi sebuah entiti yang dimonopoli oleh satu bangsa sahaja.

Ini jelas kelihatan dalam perkhidmatan awam, tentera, polis, kehakiman, kamar Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pelbagai badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.

Para pejawat awam ini yang dibiayai oleh orang awam bukan sahaja keseluruhannya terdiri daripada orang-orang Melayu tapi mereka telah diindoktrinasikan supaya taat kepada Umno dan bersikap dingin dengan politik pembangkang termasuk orang-orang Melayu sendiri.

‘Ketuanan Melayu’ bukan kuasa Melayu?

Jika Nazri menganggap beliau benar, beliau boleh meletakkan interpretasinya untuk diuji dengan bertanyakan kepada rakan-rakan kabinet dari Umno sama ada mereka bersetuju bahawa ‘Ketuanan Melayu’ bukan mengenai penguasaan Melayu atau kuasa Melayu tapi mengenai Raja-Raja Melayu. Saya pasti tidak ada yang bersetuju.

Jika Umno menafikan bahawa ia menerima ‘Ketuanan Melayu’ sebagai ideologi teras, ia harus menerangkan sikap rasis dan menjawab beberapa soalan seperti berikut:

  • Apabila Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan supaya Universiti Teknologi MARA (UiTM) dibuka 10% pengambilan pelajar bukan Bumiputera dan pelajar luar negeri, kenapa pemimpin tertinggi Umno termasuk menteri pengajian tinggi pada ketika itu, Khaled Nordin mengutuk Khalid dan menuduh beliau "pengkhianat yang menjual hak istimewa orang Melayu."
  • Apabila Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersara pada lewat 2008, Khalid mahu melantik timbalan pengurus besar Wong Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar. Kenapa Umno dan kakitangan PKNS memprotes atas alasan bangsanya, jika Umno bukan rasis?
  • Semasa kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat pada 2008 mahu memberi geran tanah kepada mereka yang tidak bernasib baik daripada semua bangsa yang telah lama menduduki tanah itu (kebanyakannya Melayu), kenapa pemimpin-pemimpin Umno mengkritik usaha memberi geran tanah kepada bukan Melayu yang dianggap sebagai mengkhianati kepentingan Melayu?

Para pemerhati politik tidak menghadapi masalah untuk mengesan dasar dan ideologi rasis Umno sebagai punca masalah politik, sosial dan ekonomi hingga menyebabkan Malaysia ketinggalan jauh dari segi ekonomi berbanding jiran-jirannya.

Bagaimanapun, ia memerlukan kesungguhan politik untuk parti politik seperti PKR untuk menyatakan kebenaran dan membuka topeng sebenar rasis Umno.

Mana mungkin, kerana langkah ini jika dilaksanakan Umno menghadapi risiko kehilangan para pengundi, yang kebanyakannya orang-orang Melayu. Sebaliknya Umno kini bersedia untuk memperalatkan media massa yang dikuasainya, untuk menyerang PKR yang secara ikhlas cuba menyelamatkan negara ini.

Untuk itu, kepada semua rakyat Malaysia yang patriotik, bukan sahaja harus memuji Wan Azizah di atas keberanian beliau tetapi juga memberi sokongan yang tidak berbelah bagi supaya beliau dapat memenuhi cita-cita murni.

Tiada ulasan: