HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Disember 2010

Lim syor lembaga penasihat pelabuhan Pulau Pinang, diketuai PM


KUALA LUMPUR — Dalam usaha kerajaan Pulau Pinang membida usaha ambil alih pelabuhan negeri itu, Lim Guan Eng berkata pentadbirannya mengesyorkan penubuhan lembaga penasihat pelabuhan dengan dipengerusikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menawarkan ekuiti kepada kerajaan pusat pada “harga diskaun yang bersesuian” sebagai tanda kerjasama erat antara kerajaan negeri itu dengan kerajaan pusat.

Dalam surat kepada Datuk Seri Najib Razak semalam, Lim menyatakan hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengambil alih Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Beliau juga berkata, orang Melayu tempatan dan rakan teknologi asing untuk mengendali pelabuhan tersebut ke tahap “bertaraf antarabangsa.”

Dalam laporan pagi tadi, The Malaysian Insider menyebut bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang juga membida untuk mengambil alih PPSB yang sejak kebelakangan ini mencatatkan keuntungan.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, pemilik Perbadanan MMC yang mengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor, akan mengambil alih PPSB.

Lim berkata, PPSB merupakan satu aset strategik utama di bahagian utara Semenanjung dan penubuhan sebuah lembaga penasihat akan dapat mengekalkan aspek “imbang dan semak.”

“Kami juga ingin mencadangkan agar diwujudkan satu lembaga penasihat yang terdiri daripada pelbagai tokoh terkemuka tempatan dan juga antarabangsa yang berpengalaman luas dalam bidang pelaburan, keupayaan dan kelayakan dalam pengurusan pelabuhan, perdagangan antarabangsa dan logistik,” kata Lim.

“Lembaga ini akan dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri bersama-sama dengan wakil kerajaan negeri,” kata beliau.

Lim berkata, ekuiti akan ditawarkan kepada rakan teknologi asing pada harga terbitan untuk mewujudkan satu jajaran kepentingan selari antara semua pihak.

Ketua menteri itu berkata bahawa di bawah pemilikan kerajaan negeri Pulau Pinang, pelabuhan tersebut akan mengguna pakai tatacara urus tadbir yang bertaraf antarabangsa.

Beliau juga menunjukkan hasrat untuk membentangkan usul pengambilalihan PPSB oleh kerajaan negeri kepada Najib.

Musuh politik kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, Barisan Nasional (BN), baru-baru ini melantik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai pengerusi pengawalatur Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

SPPP mengeluarkan lesen kepada PPSB untuk mengendalikan pelabuhan tersebut, yang diswastakan pada 1 Januari 1994, ketika pemerintahan BN.

Bagaimanapun, kekalahan mengejut BN pada pilihan raya umum 2008 menyaksikan negeri Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menimbulkan persoalan pada November 23 tentang spekulasi pengambilalihan tersebut dan medesak kerajaan untuk memberi maklumat penuh tentang proses penswastaan itu.

Dalam surat Lim, beliau cuba menerangkan bahawa pengambilalihan PPSB oleh kerajaan negeri akan mendapat sokongan Perdana Menteri kerana keuntungan yang diperoleh akan disalurkan kepada projek-projek pembangunan strategik yang lain.

“Malah, ini bukan sahaja seiringan dengan program transformasi ekonomi Yang Amat Berhormat Datuk Seri, malah ia juga sejajar dengan wawasan Yang Amat Berhormat Datuk Seri untuk menyatukan semua rakyat Malaysia ke arah satu entiti ekonomi dan politik,” katanya.

Tiada ulasan: