KUALA LUMPUR — Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) mengesyorkan agar sekatan tegas dikenakan ke atas pesalah-pesalah bagi memastikan kebebasan daripada gangguan politik dan kementerian ke atas pengurusan harian Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Menurut laporan itu MPEN, halangan rasmi mahupun tidak rasmi dalam proses perolehan kerajaan, yang memberi keutamaan akses kepada GLC, harus dihapuskan.
Ia antara perkara disyorkan oleh MPEN kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, yang hari ini melancarkan Model Baru Ekonomi (MBE).
Selain itu MPEN juga mengesyorkan bahawa kerajaan wajar menimbangkan untuk mengehadkan pemilikannya dalam syarikat strategik kepada 30 peratus daripada saham terbitan.
Kerajaan juga perlu mengambil kaedah kawalan strategik kurang invasif seperti sahan emas, dasar industri dan sekatan pemilikan asing, kata MPEN dalam laporan bertajuk “Model Baru Ekonomi Untuk Malaysia-Bahagian Akhir: Langkah Dasar Strategik”.
Saham emas memberi kuasa kepada pemegang untuk mempengaruhi keputusan utama dalam sebuah syarikat, manakala dasar industri merupakan cara menjaga kawalan strategik melalui dasar industri tersebut dan sekatan-sekatan pemilikan bagi mengawal pelaburan pelabur asing.
Laporan Bernama menyebut, MPEN juga mencadangkan kerajaan menjual GLC yang tidak strategik dan memberi peluang kepada sektor swasta yang mempunyai peluang lebih besar untuk menambah nilai.
MPEN berkata carian data mendapati terdapat 445 syarikat GLC di negara ini.
Menurutnya hasil daripada penjualan pelaburan tidak seharus dikira sebagai pendapatan kendalian (aliran) tetap diiktirafkan sebagai penukaran modal (saham) manakala perolehan patut ditempatkan ke dalam dana kekayaan Negara (SWF), yang melabur dalam pelbagai kelas aset, termasuk sekuriti, tukaran asing dan derivatif.
SWF akan melaksana rangka kerja tadbir urus seperti pengurusan rizab tukaran asing Bank Negara Malaysia (BNM) dan ditadbiruruskan sejajar dengan prinsip Santiago yang antara lain memerlukan pendedahan dasar pelaburan SWF, penyata kewangan dan pendekatan pengurusan risiko, MPEN.
Menurut laporan itu, keuntungan daripada SWF boleh digunakan untuk memangkin inisiatif baharu sektor swasta.
MPEN berkata terdapat GLC yang dinyah labur boleh menjadi sebahagian daripada program khas untuk menyokong konsortium usahawan Bumiputera menerusi proses tender terbuka yang telus.
MPEN juga mencadangkan satu pihak berkuasa kawal selia GLC (GOA) ditubuhkan bagi mengumpul data kewangan kesemua GLC, memantau prestai mereka, dan GLC bertanggungjawab ke atas perbelanjaan belanjawannya.
Sebaik-baiknya, GOA perlu melapor kepada Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan prinsip keterusan ke arah membina keyakinan sektor swasta, katanya.
MPEN juga meminta kerajaan meminda rangka kerja perundangan dan kawal selia yang sudah wujud untuk menyediakan asas yang sama rata antara GLC dan perniagaan swasta selain mengurangkan ketidakpastian para pelaburan swasta.
“GLC juga perlu tertakluk kepada peruntukan Akta Persaingan 2010 bagi memastikan amalan perdagangan mereka tidak bersifat antipersaingan, selain kerajaan seboleh-bolehnya tidak menyediakan jaminan automatik ke atas liabiliti GLC,” kata MPEN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.