Merujuk kepada kenyataan yang dibuat kepada media oleh Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkenaan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (seperti laporan Berita Harian, 29 Disember 2010, m/s 2). Kuasa budi bicara baginda adalah sepertimana yang dinyatakan dalam Fasal 55 (2) (a) – (g) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, dan mana-mana lain peruntukan yang memberikan kuasa budi bicara kepada baginda oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Tetapi berdasarkan laporan Berita Harian tersebut, Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor telah menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor perlu disembahmaklum dan mendapat perkenan baginda oleh kerana baginda adalah kuasa eksekutif di Negeri Selangor (sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 50). Ia adalah satu kiasan yang mengibaratkan perlembagaan sebagai satu rangka bernyawa yang hanya lengkap dan berfungsi dengan sempurna sekiranya ianya dibaluti oleh tubuh. Bolehkah satu benda bernyawa berfungsi dengan rangka sahaja tanpa daging tubuhnya? Demi menjaga keharmonian dan keberlansungan pentadbiran Negeri Selangor yang tercinta ini, harapan saya janganlah mana-mana institusi yang sewajarnya, dibelakangi dalam perkara berkaitan pelantikan jawatan utama Kerajaan Negeri Selangor. Apakah boleh pula sekiranya jawatan Ketua Setiausaha Negara dilantik oleh SPB Yang di-Pertuan Agong tanpa merujuk dahulu kepada YAB Perdana Menteri? Namun hakikatnya, dan mahkamah juga telah menyatakan bahawa, mengikut konvensyen, SPB Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengisytihar darurat tanpa dinasihati oleh YAB Perdana Menteri yang mewakili Jemaah Menteri. Mengapa diperingkat persekutuan SPB Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat YAB Perdana Menteri dalam perkara yang secara tersurat tidak pula menyebut baginda perlu mendapat nasihat YAB Perdana Menteri tetapi di Negeri Selangor, seolah-olah DYMM Sultan Selangor boleh bertindak tanpa mendapat nasihat YAB Dato’ Menteri Besar hanya dengan alasan bahawa peruntukan undang-undang tubuh tidak menyatakan secara jelas baginda perlu merujuk kepada YAB Dato’ Menteri Besar? Adakah SPB Yang DiPertuan Agong sahaja Raja Berperlembagaan di dalam Negara ini? Ini adalah jelas satu tindakan yang berpilih dan tidak sama-rata. Gambaran yang terpampang kepada rakyat adalah dua layanan yang berbeza; satu untuk Pakatan Rakyat dan satu untuk Barisan Nasional. Begitu juga dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lain. Mengikut amalan dan konvensyen, ianya akan dirujuk dan dibincangkan antara Ketua Negeri dan Ketua Kerajaan. Tetapi, apabila Negeri Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat, amalan dan konvensyen ini tidak dibuat. Saya yakin dan percaya rakyat Selangor mahu YAB Dato’ Menteri Besarnya dihormati oleh semua pihak termasuk pihak istana. Rakyat akan menolak sebarang tindakan “beraja di mata, bersultan di hati” oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja. Dalam sejah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang Raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlansung akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan! Didoakan agar ia tidak berlaku di Selangor. |
Halaman
▼
Sabtu, 1 Januari 2011
Istana Tiada Kuasa Mutlak Tentukan Calon Setiausaha Kerajaan Negeri
Shuhaimi Shafiei
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.