KUALA LUMPUR — Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa kawasan di Sabah dijangka berterusan sehingga esok.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 12 tengah hari ini menyebut bahawa kawasan yang terlibat ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Sandakan, Beluran dan Kinabatangan.
“Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu juga meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana yang berlaku di Kuching, Lundu, Bau, Samarahan, Asa Jaya, Simunjan, Betong, Saratok, Sarikei, Mukah, Dalat, Matu dan Daro di Sarawak dijangka berterusan sehingga esok.
Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora pula dituruntarafkan kepada kategori kedua untuk angin kencang Timur Laut di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Laut Sulu dengan kelajuan 50-60km sejam dan ombak setinggi 4.5 meter yang dijangka berterusan sehingga Ahad ini.
Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.
Angin kencang sehingga mencapai kelajuan 40-50km sejam dengan keadaan ombak setinggi 3.5 meter pula berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Samui, Tioman, Bunguran, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat, Sandakan, Lahad Datu, dan Tawau), Reef South, Palawan, dan Sulawesi dijangka berterusan sehingga Ahad ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.