Tuntutan Pakatan Rakyat ini timbul ekoran tindakan usung 'mayat' mahasiswa Universiti Malaya.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini mengetuai para pemimpin Pakatan Rakyat untuk menuntut perubahan di dalam memperkasakan hak bersuara mahasiswa dan reformasi dalam sistem pilihan raya kampus.
Tuntutan ini dibuat berikutan tindakan Universiti Malaya yang menafikan hak pelajarnya bertanding di dalam pilihan raya kampus.
Semalam, mahasiswa Universiti Malaya telah mengusung ‘mayat’ ke pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya sebagai tanda bantahan terhadap penolakan pencalonan empat calon kumpulan Pro Mahasiswa.
Sejumlah enam tuntutan telah dibuat kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Sri Mohamed Khaled Nordin.
Tuntutan pertama melibatkan pemberian autonomi dan penghentian segala jenis intimidasi atau ugutan.
Selain itu mereka turut mendesak pihak berkenaan untuk menghormati kebebasan bersuara seperti mana yang termaktub di dalam Artikel 19 Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan Perkara 19 Perlembagaan Malaysia.
Tuntutan ketiga kebebasan bersuara tanpa sekatan mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Para pemimpin Pakatan Rakyat turut menuntut ketelusan dalam proses pilihan raya kampus.
Kempen yang bebas dan adil serta masa kempen yang lebih panjang dari tiga kepada tujuh hari turut dituntut untuk membolehkan calon berkempen dan menyampaikan manifesto kepada mahasiswa.
Selain Nurul, kenyataan tersebut turut ditandatangani Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching, Anthony Loke Siew Fook (Rasah), Dr Mujahid Rawa (Parit Buntar), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves Amiruddin Shaari, Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ketua AMK PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli dan Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.