Perhimpunan aman diadakan sekumpulan NGO di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini.
Kumpulan penyokong beberapa pertubuhan bukan kerajaan dengan diketuai pemimpin Pakatan Rakyat berarak dari masjid KLCC ke kawasan Kedutaan AS bagi menyampaikan pendirian itu.
Pemimpin-pemimpin itu termasuklah naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Mereka membawa kain rentang “Kami bergerak bersama rakyat Mesir” dan “Turun Mubarak”.
Himpunan itu diadakan selepas solat Jumaat tadi.
Di Mesir, demonstrasi rakyat itu masuk hari ke-11 hari ini dan mereka dijangka akan mengadakan perarakan yang dikenali sebagai “Hari Berundur” ke arah istana presiden di Kaherah.
Hosni sudah tiga dekad menerajui negara itu.
Dalam satu temu bual dengan ABC semalam, Hosni berkata beliau bersedia untuk berundur sekarang tetapi bimbang ia akan menyebabkan keadaan huru-hara di Mesir.
Pegawai-pegawai AS dan Mesir pula sedang mengadakan perbincangan untuk memaksa Hosni berundur segera.
Sebelum ini, Presiden AS Barack Obama menggesa Hosni bertindak ke arah perubahan dalam kerajaan dan mahu ia dilakukan sekarang.
Pada awalnya polis membenarkan kumpulan itu mengadakan protes di hadapan kedutaan itu tetapi kemudian membawa penyembur air untuk menyuraikan mereka.
Difahamkan tujuh orang ditahan oleh polis.
Antara NGO yang menyertai perhimpunan itu adalah Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Teras Pengupayaan Melayu, Warga Permuafakatan Pertubuhan Islam Kedah, Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak, Pergerakan Persaudaraan Muslimah dan Angkatan Belia Islam Malaysia.
Penunjuk perasaan juga melabel Hosni sebagai “firaun” dan mengaitkan beliau dengan pembunuhan rakyat Palestin oleh Israel.
Golongan wanita dan kanak-kanak serta beberapa warga Arab juga menyertai perhimpunan hari ini. Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terpaksa diusung kerana pengsan.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberitahu peserta demonstrasi bahawa usaha hari ini diadakan untuk menunjukkan sokongan kepada rakyat Mesir yang sanggup mengorbankan nyawa mereka demi mempertahankan demokrasi dan keadilan.
Selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan AS, Shamsul Iskandar memberitahu pemberita, memorandum itu bertujuan meminta Washington supaya mengenakan tekanan ke atas Hosni agar berundur segera dan turut meminta pemimpin-pemimpin negara lain berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.